Cukai minuman manis bergula perlu diperluas

Program Interviu bertajuk ‘Hapuskan diskriminasi dalam 'perang' terhadap gula’ menampilkan Azrul (kanan) dan dihoskan oleh Haizir di Studio F Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Program Interviu bertajuk ‘Hapuskan diskriminasi dalam 'perang' terhadap gula’ menampilkan Azrul (kanan) dan dihoskan oleh Haizir di Studio F Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Cukai minuman manis bergula (SSB) perlu diperluas hingga ke sektor penyediaan makanan dan minuman bagi memastikan perang terhadap gula berjaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata, ini adalah kerana cukai SSB semasa hanya dikenakan ke atas industri perkilangan yang mengeluarkan produk minuman di Malaysia.

Menurutnya, cukai SSB juga perlu dikenakan terhadap restoran, kafe, sektor makanan dan premis yang menyediakan makanan dan minuman berasaskan gula.

“Setakat ini restoran malah kedai kek, aiskrim dan roti yang menyediakan makanan bergula tidak dikenakan cukai SSB.

“Cukai SSB ini perlu diperluaskan kerana pengambilan gula di malaysia kebanyakannya bukan daripada minimum bersoda yang sudah siap seperti dalam botol tetapi daripada susu pekat dan sejat, kordial dan barangan berasaskan gula yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Interviu bertajuk ‘Hapuskan diskriminasi dalam ‘perang’ terhadap gula’ yang dihoskan Haizir Othman dan berlangsung di Studio F Kumpulan Karangkraf, di sini pada Rabu.

Selain perlu menarik semula subsidi gula, kerajaan juga perlu mengeluarkan gula dari senarai bahan kawalan dan memastikan cukai SSB disalurkan semula kepada perbelanjaan dan kempen kesihatan.

Ini kerana Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan seramai tujuh juta rakyat Malaysia akan menghidap diabetes dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

Malah dianggarkan juga seramai 500,000 rakyat Malaysia daripada jumlah tersebut mengalami penyakit tidak berjangkit yang lain termasuklah kanser, diabetes, hipertensi dan kardiovaskular.

AZRUL
AZRUL

"Sehingga kini, dianggarkan seramai 2.3 juta rakyat di negara ini menghidapi kombinasi penyakit berkenaan.

“Masalahnya sekarang ialah ia menyumbangkan kos yang cukup besar kepada kerajaan kerana kos rawatan diabetes sahaja menelan belanja RM3.1 bilion setiap tahun,” katanya.

Jelas Azrul, jika bilangan rakyat Malaysia yang menghidap diabetes dikurangkan, ia memberikan manfaat melibatkan produktiviti iaitu kebolehan mereka untuk bekerja, membayar cukai dan tidak memerlukan rawatan yang mahal.

“Apa yang berlaku sekarang ini, negara mempunyai keperluan insulin melebih 1.2 juta setahun,” katanya.

Tambahnya, jika membandingkannya dengan negara jiran, rakyat Malaysia adalah antara negara yang paling tinggi di Asia menghadapi diabetes.

“Sekiranya kerajaan tidak lagi memberikan subsidi kepada pengeluar gula, mereka akan lega kerana boleh mengapungkan harga berkenaan pada pasaran yang sebenar.

“Jadi, kita tidak perlu lagi memberikan subsidi dan mereka boleh membuat keuntungan dan perniagaan,” katanya.

Tambahnya, dari segi percukaian, jumlah kutipan cukai SSB adalah lebih kurang RM330 juta setahun.

“Jika cukai dinaikkan, ia boleh kutip lebih RM400 juta. Ia akan menjangkau satu titik saturasi di mana kita tidak boleh memperolehi banyak ganjaran daripada cukai berkenaan.

“Jika kita melihat perbezaan harga satu minuman tin di pasar raya dan kedai 24 jam.

“Mungkin bezanya adalah sebanyak RM1 atau RM2. Jadi, cukai itu mungkin RM10 atau RM20. Tetapi harga penjualan barang yang sama di antara dua tempat ini adalah lebih tinggi daripada cukai yang dikenakan,” katanya.

Gula perlu dikeluarkan daripada barang kawalan

Dalam pada itu, Azrul mencadangkan supaya gula dikeluarkan daripada senarai barangan yang dikawal.

“Kita melihat dari segi pengubah budaya pengambilan gula. Kita perlu melabur bagi meneruskan penganjuran kempen menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengurangkan pengambilan gula.

AZRUL
AZRUL

“Komuniti setempat dan sekolah boleh menganjurkan aktiviti gaya hidup yang lebih sihat,” katanya.

Tambahnya, tidak kira sama ada mereka B40 atau T20, masalah pemakanan atau malnutrisi ini berlaku pada semua.

“Apa yang penting ialah cukai yang dikutip perlu kembali kepada tujuan asal ia dilaksanakan.

“Apa yang kita telah pelajari daripada pengalaman Malaysia mengenai cukai ini dan di negara-negara lain ialah untuk memastikan pengeluar dan produk itu bersaing di dalam pasarannya,” kata Azrul.

Beliau berkata, pihaknya yakin perumusan semula akan berlaku terhadap semua produk berasaskan gula.

“Kita akan tengok makanan dalam tin, minuman tin dan sebagainya mempunyai harga sama tetapi telah mula ada ayat ‘kurang gula’.

“Contohnya, terdapat 10 peratus, 25 peratus kurang gula tetapi mempunyai harga dan rasa yang sama,” katanya.

Azrul berkata, kita boleh melihat kesan jangka masa panjang pengambilan penggunaan formula dalam produk kanak-kanak atau bayi.

“Mungkin akan berlaku penekanan atau tekanan disebabkan teks tersebut yang akan menyebabkan pengeluar melihat kembali formula yang mereka masukkan dalam produk. Jika mengenai pengurangan gula, mungkin pengeluar akan mengurangkan bahan itu,” katanya.

Obesiti dalam kalangan kanak-kanak

Tambah Azrul, dianggarkan sebanyak satu pertiga daripada kanak-kanak di negara ini mengalami masalah obesiti.

“Obesiti berlaku bukan sahaja kerana pemakanan di rumah tetapi disebabkan mereka yang tidak aktif bergerak,” katanya.

Azrul berkata, semua pihak perlu melihat bagaimana keberkesanan maklumat yang disampaikan untuk memastikan budaya yang diamalkan oleh kanak-kanak adalah budaya yang sihat.

“Bagaimana untuk meningkatkan pendidikan dalam kalangan rakyat Malaysia agar mereka dari semasa ke semasa menjalani pemeriksaan kesihatan, bersenam, memeriksa apakah kandungan makanan yang mereka makan seperti karbohidrat, protein, vitamin, minyak, lemak dan sebagainya.

“Bagaimana untuk mencetuskan kesedaran tersebut dan ia adalah satu masalah yang cukup besar dan serius,” kata Azrul.

Jelasnya, sudah sekian lama isu obesiti dalam kalangan kanak-kanak sebenarnya terpaksa ditangani bukan sahaja oleh kerajaan tetapi masyarakat umumnya.

“Kita boleh melihat kegagalan dari segi statistik obesiti dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Mengulas lanjut, A zrul berkata, cukai SSB diperkenalkan beberapa tahun yang lalu bertujuan menangani isu obesiti dan malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak di sekolah.

“Kita kenakan cukai dan hasilnya kita salurkan kepada program pemakanan tambahan di sekolah.

“Bagaimanapun, apa yang berlaku isu ini telah kecundang disebabkan kelemahan kemahuan politik apabila bertukarnya Menteri Pendidikan pada waktu itu.

“Saluran wang yang dikutip pada cukai SSB tidak masuk ke dalam program persekolahan, pemakanan untuk kanak-kanak, sarapan dan sebagainya. Ia masuk ke dalam federal collection,” katanya.

Azrul berkata, kerajaan perlu kembali kepada tujuan asal cukai SSB dilaksanakan.

“Isu untuk mengeluarkan gula daripada senarai barangan kawalan juga memerlukan kemahuan politik kerana ia bukan popular.

“Kalau kerajaan melaksanakannya untuk Belanjawan 2025, rasanya Makcik Kiah dan pengusaha restoran akan mengamuk serta hampir setiap lapisan masyarakat akan mempertikaikannya.

“Mereka akan mempersoalkan mengenai harga gula lebih mahal sedangkan ia sinonim dalam kehidupan masyarakat kita. Ia memerlukan anjakan paradigma untuk berubah,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!