Stones tuding jari kepada rakan sepasukan

Stones (dua kiri) turun selaku kapten England pada perlawanan Liga Negara-Negara menentang Greece di Wembley. Foto Agensi
Stones (dua kiri) turun selaku kapten England pada perlawanan Liga Negara-Negara menentang Greece di Wembley. Foto Agensi
A
A
A

PERTAHANAN England, John Stones mengakui skuad Three Lions beraksi di bawah par ketika melayan kunjungan Greece di Stadium Wembley.

Stones juga tidak gembira dengan rakan sepasukan terutamanya cara mereka bertahan di penghujung perlawanan yang menyaksikan Vangelis Pavlidis meledak gol kemenangan 2-1 buat pelawat.

Dalam perlawanan Liga Negara-Negara itu, pertahanan kurang kemas England dihukum pada setiap babak.

Pavlidis menunjukan lilitan hitam dan rakan sepasukan mengangkat jersi mendiang George Baldock semasa kemenangan Greece ke atas England di Wembley. Foto Agensi
Pavlidis menunjukan lilitan hitam dan rakan sepasukan mengangkat jersi mendiang George Baldock semasa kemenangan Greece ke atas England di Wembley. Foto Agensi

Mengulas perlawanan itu, Stones yang turun selaku kapten pasukan nyata kecewa sambil menyalahkan rakan sepasukan kerana gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Kami tidak mencipta banyak peluang dan tidak tersusun ketika bertahan semasa situasi bola mati.

“Secara peribadi banyak perkara yang saya tidak berpuas hati, cara kami melakukan serangan balas dan bertahan.

“Kalau menang sudah tentu kami berada di tangga teratas kumpulan,” ujar Stones.

Artikel Berkaitan:

Dalam perlawanan tersebut, dua pemain Arsenal Bukayo Saka dan Declan Rice masing-masing dilayangkan kad kuning.

Malah, Saka yang menampilkan aksi kurang meyakinkan dikeluarkan pada minit ke-51 dengan laporan bintang The Gunners itu mengalami kecederaan kaki.

Selepas tiga perlawanan, England (enam mata) berada di tangga kedua Liga B Kumpulan 2.

Greece di tempat pertama manakala Ireland di tangga ketiga dengan tiga mata.

Skuad The Three Lions selepas ini akan bertemu pasukan tercorot, Finland di Stadium Olimpik Helsinki pada awal pagi Isnin.

______________________________________________________________________

Malam penuh emosi Greece di Wembley

VANGELIS Pavlidis mendedikasikan kemenangan bersejarah Greece 2-1 ke atas England dalam Liga Negara-Negara kepada George Baldock selepas kematian tragis rakan sepasukannya minggu ini.

Dua gol Pavlidis, yang disempurnakan dengan gol kemenangan pada masa kecederaan, membantu Greece meraih kemenangan pertama mereka ke atas England dalam percubaan ke-10.

Greece yang berada di kedudukan ke-48 dalam ranking dunia FIFA, adalah pasukan paling rendah yang berjaya menewaskan England dalam perlawanan kompetitif sejak Ireland Utara pada tahun 2005, dan pasukan terendah yang pernah melakukannya di tanah England.

Kemenangan luar biasa ini hadir hanya 24 jam selepas pemain antarabangsa Greece kelahiran England, Baldock - lemas ketika berenang di kolam renang di rumahnya di Athens.

Polis Greece sebelum ini mengesahkan tiada bukti bahawa aktiviti jenayah menyebabkan kematian bekas pertahanan Sheffield United berusia 31 tahun itu, yang menandatangani kontrak dengan kelab Athens, Panathinaikos pada jendela perpindahan musim panas ini.

Pada malam yang penuh emosi di Wembley, Pavlidis meraikan gol pertamanya pada minit ke-49 dengan mengangkat lilitan hitam yang dipakai oleh setiap pemain sebagai penghormatan kepada Baldock.

Para pemain Greece juga mengangkat jersi dengan nama dan nombor Baldock sebelum perlawanan dan selepas gol pembukaan.

Beberapa pemain Greece menangis apabila wisel penamat ditiup selepas Pavlidis sekali lagi menjaringkan gol untuk mengesahkan kemenangan.

"Ia adalah hari yang sangat istimewa bagi kami kerana George.

"Kami banyak memikirkannya sejak mendengar berita itu semalam. Saat yang sukar bagi kami kerana George adalah sebahagian daripada pasukan.

"Seorang lelaki istimewa. Kami perlu bermain untuknya dan tidak kira keputusan hari ini. Kami memberikan segalanya untuknya," ujar Pavlidis.

Sebelum perlawanan, satu minit bertafakur dengan gambar Baldock dipaparkan di skrin besar.

Baldock telah meraih 12 kap untuk Greece selepas layak mewakili negara itu melalui neneknya.

Dia kali terakhir terlibat dalam skuad Greece semasa kekalahan playoff Euro 2024 di tangan Georgia.

Jurulatih Greece, Ivan Jovanovic berkata, kemenangan tidak dijangka menentang finalis Euro 2024, England, didorong oleh keinginan para pemain untuk memberi penghormatan kepada Baldock.

"Seluruh pasukan dan semua orang di sini telah melalui 24 jam yang sangat sukar. Kematian Baldock adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Pada masa seperti ini, bola sepak menjadi perkara kedua.

"Dia bersama kami di bilik persalinan dalam semangat. Dia meninggalkan kesan kepada pasukan dan itu jelas kelihatan dalam cara pasukan bermain hari ini," katanya.

Kapten England, John Stones, menambah: "Bagi semua orang di bilik persalinan dan FA, takziah kepada keluarganya.

"Beberapa pemain rapat dengannya. Kami tahu ia bukan hari yang mudah bagi mereka. (Penjaga gol simpanan England) Dean Henderson rapat dengannya, dan berita itu tidak mudah untuknya."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!