KPDN serbu premis alat ganti, aksesori telefon bimbit

Pegawai penguat kuasa KPDN Perak menyita barang-barang yang dipercayai menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut.
Pegawai penguat kuasa KPDN Perak menyita barang-barang yang dipercayai menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut.
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri Perak menyerbu lima premis menjual aksesori serta alat ganti telefon bimbit dalam operasi di sekitar Ipoh, Sitiawan dan Taiping selama dua hari bermula Rabu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi tersebut dilakukan bagi membanteras penjualan dan pengedaran barang tiruan melibatkan alat ganti dan barangan aksesori telefon bimbit berjenama Huawei dan Samsung.

Menurutnya, serbuan dilakukan hasil aduan dan maklumat oleh wakil pemilik cap dagang yang mengadu terdapat penjualan alat ganti dan aksesori telefon bimbit menggunakan jenama tersebut yang disyaki tiruan di premis-premis berkenaan.

Rampasan keseluruhan bernilai RM26,430 dibuat KPDN Perak dalam serbuan di lima premis melalui operasi yang dijalankan bermula Selasa.
Rampasan keseluruhan bernilai RM26,430 dibuat KPDN Perak dalam serbuan di lima premis melalui operasi yang dijalankan bermula Selasa.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan menemukan sebanyak 617 unit alat ganti telefon bimbit dan 518 unit aksesori telefon bimbit yang kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut.

"Kesemua barangan dan dokumen telah disita untuk siasatan lanjut. Nilai rampasan keseluruhan melibatkan 5 premis di daerah tersebut dianggarkan bernilai RM26,430," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kamalludin berkata, wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Cap Dagang 2019 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagang berdaftar bagi syarikat jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi kesalahan berulang, hukuman denda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagang berdaftar.

Jelasnya, selain itu bagi bukan syarikat, hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamalludin berkata, selain menjaga hak pengguna, KPDN turut memandang serius dalam melindungi hak pemilik cap dagang melalui pemantauan dan risikan berterusan ke atas premis yang menjual barangan berjenama bagi membanteras penjualan barang tiruan seterusnya dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing terutamanya di Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!