Monsun Timur Laut: Komuniti maritim diminta peka perubahan cuaca

Komuniti maritim untuk sentiasa peka dengan perubahan cuaca semasa ketika ini. Foto hiasan. Gambar kecil: Mohd Khairulanua
Komuniti maritim untuk sentiasa peka dengan perubahan cuaca semasa ketika ini. Foto hiasan. Gambar kecil: Mohd Khairulanua
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu telah membuat persediaan awal dari segi kesiapsiagaan aset dan anggota bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan ini.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid turut menasihatkan komuniti maritim untuk sentiasa peka dengan perubahan cuaca semasa ketika ini.

Menurutnya, perubahan MTL dijangka akan berlaku pada penghujung bulan Oktober seperti yang telah dimaklumkan oleh pihak Jabatan Meteorologi Malaysia baru-baru ini.

"Komuniti Maritim diingatkan untuk sentiasa utamakan keselamatan nyawa dan harta benda terlebih dahulu.

“Maklumkan kepada keluarga berkenaan lokasi semasa melakukan aktiviti di laut serta lengkapkan bot dengan peralatan keselamatan yang mencukupi.

"Semua pihak diminta memakai jaket keselamatan serta pastikan bot anda sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan selamat sebelum memulakan aktivitI laut selain bawa Personal Locator Beacon (PLB)", katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Khairulanuar berkata, kempen kesedaran keselamatan di laut sentiasa

dilaksanakan oleh Maritim Negeri Terengganu melalui pelbagai medium bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat setempat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebarang insiden kecemasan di laut komuniti maritim diminta untuk terus menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu ditalian

013-7464357 atau talian kecemasan 999.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, orang ramai digesa bersiap sedia bagi menghadapi MTL yang diramal bermula lebih awal iaitu penghujung bulan ini berbanding lazimnya pada awal November, susulan perubahan cuaca.

MTL membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Barat Sarawak dan Timur Sabah manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering.

Ia menyaksikan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang MTL yang dijangka berakhir pada Mac tahun depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!