Peluang sama rata untuk semua?

Jarud Romadan Khalidi dan Hawati
Jarud Romadan Khalidi dan Hawati
A
A
A

ADAKAH sesiapa sahaja di Malaysia mempunyai peluang yang sama untuk berjaya asalkan rajin berusaha? Kajian mobiliti sosial Khazanah Research Institute (KRI) mengemukakan bukti empirikal bahawa latar belakang keluarga bukanlah satu-satunya penentu kejayaan seseorang.

Hanya 19 peratus daripada pendapatan seseorang dipengaruhi oleh tahap pendapatan bapa (atau ibu). Hubungan kecil antara pendapatan anak dan pendapatan ibu bapa ini bermakna terdapat faktor-faktor lain yang mempengaruhi pencapaian seseorang apabila dewasa.

Untuk mengukur mobiliti status sosial masyarakat Malaysia, kajian KRI membandingkan pencapaian pendidikan, kemahiran pekerjaan dan pendapatan dua generasi iaitu anak-anak yang lahir antara 1975-1990 dengan ibu bapa masing-masing yang lahir antara 1945-1960.

Setelah mengambil kira faktor inflasi, kajian tersebut mendapati separuh daripada anak-anak, terutamanya dalam kalangan anak-anak daripada keluarga berpendapatan RM1,000 sebulan ke bawah, berjaya mengatasi tahap pendapatan ibu bapa masing-masing ketika kedua-dua generasi tersebut berusia pertengahan 30-an.

Pendidikan adalah penyumbang penting kepada peningkatan status sosioekonomi kerana ia membuka peluang kepada pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik. Hampir kesemua anak-anak ini mempunyai tahap pendidikan yang sama atau lebih tinggi berbanding ibu bapa mereka.

Peningkatan taraf hidup dan mobiliti sosial yang ketara banyak dipacu oleh pertumbuhan ekonomi dan perindustrian yang pesat, dengan kadar inflasi terkawal dan pengangguran rendah terutamanya sekitar 1988–1997 sebelum Krisis Kewangan Asia (AFC 1997); serta disokong dasar pembangunan kerajaan yang inklusif.

Hasilnya, petunjuk makro sosioekonomi seperti kadar kemiskinan, tahap pendidikan dan kesihatan, pendapatan isi rumah dan penyediaan kemudahan asas menunjukkan kemajuan pesat berbanding empat dekad sebelumnya, sewaktu negara baru mencapai kemerdekaan dan membentuk Persekutuan Malaysia.

Bagaimanapun, mobiliti sosial tidak berlaku sehala sahaja. Misalnya, ramai anak-anak daripada keluarga berpendapatan RM5,000 sebulan ke atas memperoleh pendapatan yang lebih rendah berbanding ibu/bapa masing-masing, walaupun hampir 80 peratus anak ini berpendidikan tinggi.

Artikel Berkaitan:

Secara teknikalnya, situasi itu berkait rapat dengan kesukaran bagi anak-anak ini untuk melepasi tahap pendapatan ibu bapa yang sedia tinggi. Sebaliknya, lebih mudah bagi anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah melepasi tahap pendapatan ibu bapa masing-masing kerana lonjakan yang diperlukan adalah lebih kecil.

Selain itu, kian ramai generasi anak meluangkan masa yang lebih panjang dalam pengajian sebelum memasuki alam pekerjaan lantaran peluang pendidikan yang lebih meluas.

Memandangkan pendekatan kajian itu membandingkan tahap pendapatan ibu bapa dan anak ketika kedua-dua generasi tersebut berada dalam lingkungan umur pertengahan 30-an, faktor pengalaman kerja yang lebih singkat mungkin mempengaruhi tahap pendapatan anak-anak secara negatif.

Cabaran

Walaupun hubungan positif tahap pendidikan dan kemahiran pekerjaan memainkan peranan penting dalam peningkatan mobiliti sosial, namun ia bukanlah jaminan bahawa semua anak akan menikmati pendapatan lebih tinggi daripada ibu bapa. Premium pendidikan tinggi yang dinikmati graduan universiti semakin menyusut berikutan peningkatan jumlah graduan.

Persaingan yang lebih sengit dalam pasaran buruh berlaku apabila permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi tidak sepadan dengan peningkatan jumlah graduan.

Kesan ketidaksepadanan itu dapat diperhatikan daripada peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan graduan dan pertumbuhan gaji yang semakin lembap.

Namun, persoalan yang tidak kurang penting di sini ialah pencapaian dalam kalangan generasi ibu bapa terutamanya yang berjaya menikmati pendapatan tinggi. Perkara ini boleh dikaitkan dengan realiti ekonomi berbeza yang dihadapi oleh kedua-dua generasi.

Semasa berusia pertengahan 30-an terutamanya sekitar 1985–1995, generasi ibu bapa hidup dalam era Malaysia menikmati pertumbuhan ekonomi yang pesat lantas mempengaruhi tahap pendapatan secara positif.

Sementara itu, dalam kalangan anak-anak, sebahagiannya mula memasuki alam pekerjaan selepas AFC 1997, ketika pertumbuhan ekonomi dan pendapatan di Malaysia adalah lebih lemah.

Kini, Malaysia masih mengalami pembangunan ekonomi lembap selama lebih daripada dua dekad. Sebahagian besar tenaga kerja masih berkemahiran rendah dan separuh mahir, sektor perkilangan sudah lama mengecut secara relatif, sedangkan agenda Wawasan 2020 untuk menjadi negara maju masih belum tercapai.

Asas penting kepada peningkatan mobiliti masyarakat adalah memastikan setiap individu menikmati peluang yang adil serta dapat mencapai kejayaan tanpa diskriminasi dan halangan yang tidak bersifat merit.

Hakikatnya, meritokrasi dalam erti kata sebenar hanya boleh dicapai dalam masyarakat yang lebih sekata sementara jurang ketidaksamaan merupakan cabaran yang masih perlu ditangani di Malaysia.

Sebaliknya, perkongsian kekayaan secara sama rata pula adalah tidak wajar dan kadar ketidaksamaan terkawal masih diperlukan sebagai ganjaran untuk kerja keras, risiko yang diambil serta kemahiran atau bakat yang dimiliki. Keseimbangan penekanan antara meritokrasi dan ketidaksamaan penting dalam memastikan kelestarian mobiliti sosial masyarakat Malaysia.

* Hawati Abdul Hamid ialah penyelidik kanan di Khazanah Research Institute

* Jarud Romadan Khalidi ialah penyelidik di Khazanah Research Institute

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!