Pesara guru komplot jual barang kemas disamun anak perempuan

Laporan Sinar Harian pasa 21 September lalu.
Laporan Sinar Harian pasa 21 September lalu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang pesara guru wanita sanggup berkomplot bersama anak perempuannya dan kekasih menjual barang kemas bernilai lebih RM50,000 yang dilarikan di beberapa buah kedai kemas termasuk di daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamad berkata, tindakan ketiga-tiga suspek berusia 61 hingga 26 tahun itu terbongkar selepas ditahan Polis Selangor pada 5 Oktober lalu.

Menurutnya, modus operansi mereka yang mana suspek wanita berusia 26 tahun dan bekerja sebagai pembantu pengurus akan menyamar sebagai pelanggan kedai emas dengan memakai cermin mata hitam sebelum melarikan barang kemas.

Katanya, manakala kekasih kepada wanita itu yang juga berusia 26 tahun, akan menunggu di dalam kereta dan kemudian warga emas itu akan menjual hasil barang kemas yang dilarikan oleh anaknya.

"Ketiga-tiga suspek dipercayai melakukan kegiatan ini sejak Julai lalu membabitkan tujuh kes di tiga buah negeri termasuk Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

"Hasil siasatan terhadap pasangan kekasih itu mereka mengaku melakukan jenayah di tiga buah kedai emas di daerah ini iaitu di Masjid Tanah, Alor Gajah dan Pulau Sebang selain Selangor dan Negeri Sembilan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Kesemua mereka telah direman dan Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan denda.

Sinar Harian pada 21 September lalu melaporkan seorang wanita berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan dua utas gelang tangan emas dianggarkan bernilai RM10,000 di sebuah kedai emas di bangunan Arked Mara, Jalan Pasar, Alor Gajah.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!