Kesan penyebaran hadis palsu

Keberadaan sebilangan hadis mawdu' dalam kitab rujukan buatkan masyarakat percaya ia sabda Nabi Muhammad SAW lalu beramal

KEWUJUDAN sebilangan hadis palsu dalam kitab rujukan termasuk kitab jawi membuatkan masyarakat percaya ia datang dari sabda Rasulullah SAW. Foto CANVA
KEWUJUDAN sebilangan hadis palsu dalam kitab rujukan termasuk kitab jawi membuatkan masyarakat percaya ia datang dari sabda Rasulullah SAW. Foto CANVA
A
A
A

SEBUT sahaja hadis Nabi Muhammad SAW, pastinya umat Islam yang beriman dengan ALLAH SWT dan rasul-NYA akan menerima ungkapan atau lafaz tersebut dengan hati yang terbuka dan patuh.

Namun di sebalik kepercayaan kita terhadap sabda Rasulullah SAW itu, ada sesetengah pihak mengambil kesempatan dengan mempergunakan kata-kata Baginda untuk pelbagai kepentingan peribadi.

Maka timbullah istilah hadis mawdu’ yang merujuk kepada kata-kata palsu yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Profesor di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Dr Faisal Ahmad Shah menjelaskan, mawdu’ berasal dari kata al-wad’u yang bermaksud mengurangkan, merendahkan atau menjatuhkan kedudukannya, mencipta dan menyandarkan.

PROF DR FAISAL
PROF DR FAISAL

“Dari sudut istilahnya, ia bermaksud hadis yang direka, dicipta dan kemudiannya disandarkan kepada Nabi SAW secara sengaja dan salah.

“Dalam bahasa mudah hadis palsu bermaksud setiap apa yang disandarkan kepada Nabi SAW dan Baginda tidak pernah mengucapkan, melakukan atau merperakukannya, sama ada secara sengaja atau tersalah,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau bercakap demikian dalam webinar bertajuk Di sebalik al-Israiliyyat dan al-Mawdu’at di alam Melayu anjuran Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Du’at (Murshid) baru-baru ini.

Tambahnya, hukum berdusta dengan nabi adalah haram mengikut kesepakatan para ulama dan berdosa besar berdasarkan hadis, antaranya:

“Barang siapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Faktor penyebaran hadis palsu

Antara faktor-faktor penyebaran hadis palsu di alam Melayu dan Nusantara, menurut Dr Ahmad Faisal, ia termasuklah:

1 - Bergantung kepada hadis-hadis palsu yang terdapat dalam kitab-kitab tasawuf termasuk Ihya’ Ulumuddin, Siyarus Salikin dan Hidayatus Salikin.

2 - Merujuk kepada karya-karya atau kitab kuning yang belum ditahkik (disahkan kebenarannya) atau dibuat kajian semula.

3 - Berbaik sangka dengan para ilmuwan dan mempercayai setiap apa yang keluar dari mulut mereka.

4 - Mempercayai setiap hadis yang disebut dalam mana-mana kitab adalah sahih semuanya.

HADIS merupakan sumber kedua rujukan utama umat Islam selepas al-Quran. Foto CANVA
HADIS merupakan sumber kedua rujukan utama umat Islam selepas al-Quran. Foto CANVA

5 - Kurangnya ilmu berkaitan dengan ilmu hadis secara umum dan takhrij secara khusus.

6 - Keghairahan mengajak manusia ke arah kebaikan.

7 - Sikap ambil mudah.

8 - Tidak merujuk kepada kitab-kitab hadis.

9 - Kurangnya terjemahan kitab hadis dalam bahasa Melayu.

10 - Kandungan hadis yang menyentuh emosi tanpa menyemak status hadis.

Tambahnya, kitab-kitab seperti Ihya’ Ulumuddin dan kitab-kitab kuning merupakan karya agung dan tidak perlu dibuang, sebaliknya ia boleh dipelajari dan diajar, namun perlu usaha untuk tahkik dan kajian semula.

Kesan penyebaran hadis palsu

Menurut Dr Faisal, antara kesan penyebaran hadis palsu dalam masyarakat ialah mereka sukar menerima hadis-hadis sahih kerana sudah terikat dengan hadis-hadis lemah dan bermasalah ini.

“Apabila mereka mendengar hadis sahih, mereka pula meraguinya dan menjadikan mereka sukar menerimanya.

“Selain itu, kesannya yang lain hadis palsu boleh menyebabkan Muslim terjatuh ke dalam syirik yang nyata. Sebagai contoh mempercayai batu atau kayu yang boleh memberi manfaat atau mudarat kepada manusia,” jelasnya.

Menurut beliau, ada juga kesannya menyebabkan seseorang itu meninggalkan solat selepas mendengar hadis palsu ‘Sesiapa yang solat tapi tetap melakukan kemungkaran dan dosa, maka tiada solat baginya’.

“Penyebaran hadis palsu turut mendatangkan sifat ghuluw iaitu melampau seperti memuji Nabi Muhammad SAW secara berlebihan sedangkan Baginda tidak mahu umat mengagungkannya seperti penganut Kristian mengagungkan Nabi Isa dan mengangkatnya sebagai tuhan.

“Ada juga hadis palsu yang mengubah sunnah Rasulullah SAW seperti isu janggut dari segi sisi dan panjangnya berdasarkan hadis palsu Baginda biasa memotong janggutnya.

AGAMAWAN dan pendakwah sepatutnya melakukan semakan terlebih dahulu sebelum menyebarkan sesuatu hadis kepada masyarakat. FOTO CANVA
AGAMAWAN dan pendakwah sepatutnya melakukan semakan terlebih dahulu sebelum menyebarkan sesuatu hadis kepada masyarakat. FOTO CANVA

“Selain itu, hadis palsu turut menyebabkan umat Islam mencipta amalan-amalan atas kepercayaan tertentu seperti mengusap mata ketika azan dikumandangkan agar mata menjadi lebih jelas ketika melihat. Ia tiada dalil sahih dan sesetengah ulama menyebutnya sebagai palsu,” jelas beliau.

Tambahnya lagi, kesan lain yang boleh dilihat pada masyarakat ialah apabila mereka menisbahkan perkara tidak sepatutnya kepada para nabi selain mengajarkan perkara-perkara tidak sahih dalam ibadat.

“Ada juga hadis palsu yang disebarkan mengenai hukuman di samping penggunaan doa-doa palsu yang dikatakan bersambung dengan Nabi Khidir dan Nabi Ilyas selain ditimpa malapetaka sekiranya tidak disebarkan.

“Oleh sebab itu umat Islam perlu belajar kerana ajaran Islam berdasarkan fakta. Jika tidak kita akan diperbodohkan termasuk dalam isu zikir-zikir yang pelik,” jelasnya.

Pelbagai lagi hadis-hadis palsu dan kisah yang pelik diungkapkan di meja penceramah dan beliau menyeru agar umat Islam berhati-hati dengannya selain menyemaknya terlebih dahulu sebelum dipercayai dan diamalkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!