Koronavirus: Atlet negara jangan paranoid

Sukan Olimpik 2020
Sukan Olimpik 2020
A
A
A

PENULARAN koronavirus yang sebahagian besar berlaku di China dan Asia turut menimbulkan risiko terhadap penganjuran temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik.

Jepun yang telah siap sedia untuk menganjurkan Sukan Olimpik 2020 yang berbaki 169 hari dan diikuti dengan Sukan Paralimpik pada 25 Ogos hingga 6 September di Tokyo, namun peningkatan jumlah kematian melebihi 560 dan 28,000 dijangkiti virus khususnya di China, tidak membantu kepada penganjuran temasya.

Walaupun masih terlalu awal untuk membuat keputusan penangguhan atau mengubah lokasi yang lebih selamat, tetapi Ketua Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Olimpik Tokyo, Toshiro Muto berkata, penularan jangkitan itu boleh menyebabkan persiapan terjejas.

Beberapa acara sukan termasuk kelayakan Olimpik terpaksa ditunda dan dibatalkan, antaranya kejohanan badminton Masters China pada 25 Feb hingga 1 Mac di Sanya; Kejohanan Olahraga Indoor Asia di Hanzhou pada 12 hingga 13 Februari dan Kejohanan Olahraga Indoor Sedunia 2020 di Nanjing pada 13 hingga 15 Mac.

Empat tahun lepas, ketika penganjuran Sukan Olimpik Rio 2016, kebimbangan terhadap penyebaran virus Zika, penyakit bawaan nyamuk yang boleh menyebabkan kecacatan kelahiran dan masalah neurologikal, memaksa beberapa pihak menggesa penganjur dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunda atau mengubah venue temasya. Tapi, temasya itu tetap berjalan lancar.

Pembatalan, penangguhan kejohanan, latihan dan sekatan perjalanan disebabkan penularan koronavirus menjejaskan perancangan yang telah dibuat oleh atlet negara sehingga terpaksa membuat perubahan strategi untuk mencapai kemuncak prestasi di Tokyo kelak.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Anti Doping Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Dr SS Cheema meminta agar atlet negara tidak paranoid dengan penularan virus itu sebaliknya meneruskan latihan seperti biasa dengan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Saya rasa penularan koronavirus bukan sahaja menjejaskan atlet di Asia malah ia juga adalah krisis global. Sukan Olimpik adalah acara empat tahun sekali, jangan kerana hanya satu atau dua kejohanan dibatalkan, atlet menghentikan matlamat mereka dan menyerah kalah.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, kerajaan dan Kementerian Kesihatan menangani penularan jangkitan dengan baik. Atlet perlu kekal fokus dan teruskan latihan intensif demi mencapai sasaran untuk mencipta kejayaan buat negara.

“Pada masa sama, atlet diminta supaya tidak mengambil risiko dengan menghadkan diri mereka daripada menyertai acara keramaian atau berada tempat yang sesak seperti pusat membeli-belah. Atlet utama negara, perlu menjaga kebersihan diri kerana virus itu boleh menyerang sesiapa pun,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dr Cheema turut menasihati semua atlet negara untuk mendapatkan nasihat daripada pegawai kesihatan dan mengelak diri daripada rakan atlet yang ada menunjukkan tanda tidak sihat seperti mengalami batuk dan selesema.

Beliau menegaskan, sekiranya Sukan Olimpik ditangguhkan, atlet negara tidak seharusnya hilang motivasi diri sebaliknya menganggap ia satu langkah positif yang akan memberi mereka lebih masa untuk melakukan persiapan menjelang temasya itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!