'Saya harap berkat hari Jumaat ini, dia dapat dijumpai'
KLANG - Ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang hilang dari rumahnya di sini, sejak Selasa, berharap bantuan masyarakat salur maklumat agar anaknya dapat dijumpai dengan selamat.
Norlea Langahati, 37, berkata, dia ada diberitahu rakan yang mendakwa melihat anaknya iaitu Madrafataha Indal Bangsawan di sekitar Shah Alam.
"Bila dapat tahu sahaja saya dan ahli keluarga lain terus bergegas bersama ke lokasi yang diberitahu.
"Namun, bila tiba, tiada dia (anak) di situ, tapi kami terus ronda di kawasan-kawasan sekitar berharap untuk menemuinya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Tambahnya, pencarian juga dilakukan dengan bantuan pihak polis.
Kata Norlea, tiada sebarang perkara mencurigakan sebelum kehilangan anak keenam daripada lapan beradik itu.
"Madrafataha baik-baik sahaja, nak kata merajuk pun tidak ada. Saya harap berkat hari Jumaat ini, dia dapat dijumpai," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi berkata, pasukan petugas terdiri daripada anggota polis Klang Selatan telah dibentuk untuk mengesan kanak-kanak itu.
“Pasukan petugas akan berusaha mengesan semula langkah gadis itu yang hilang sejak 8 Oktober lalu,” katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Madrafataha hilang selepas turun dari rumahnya di sebuah flat di Bandar Bukit Tinggi, Klang untuk mengambil makanan seorang diri di dalam kereta di tempat parkir.
Berikutan kes kira-kira jam 2.20 petang itu, ibu mangsa telah membuat laporan polis pada jam 8.59 malam, hari yang sama, selepas usaha mencarinya dilakukan gagal.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk salurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!