Belanjawan 2025: Kerajaan perlu laksana reformasi, tingkat pelaburan 4 bidang kritikal kesihatan

Kerajaan digesa melaksanakan reformasi dan meningkatkan pelaburan dalam empat bidang kritikal kesihatan iaitu pembiayaan kesihatan, penjagaan dialisis, dermatologi dan akses ubat-ubatan inovatif. Gambar kecil: Azrul
Kerajaan digesa melaksanakan reformasi dan meningkatkan pelaburan dalam empat bidang kritikal kesihatan iaitu pembiayaan kesihatan, penjagaan dialisis, dermatologi dan akses ubat-ubatan inovatif. Gambar kecil: Azrul
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial menggesa kerajaan melaksanakan reformasi dan meningkatkan pelaburan dalam empat bidang kritikal kesihatan iaitu pembiayaan kesihatan, penjagaan dialisis, dermatologi dan akses ubat-ubatan inovatif.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib berkata, langkah tersebut bagi mengukuhkan keselamatan kesihatan selain potensi penyelesaian dalam menangani isu pengambilan dan pengekalan pekerja kesihatan.

"Caj RM1 dan RM5 untuk rawatan pesakit luar dan pakar di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) perlu dihapuskan kerana caj ini memberi tanggapan bahawa kos kesihatan di klinik kerajaan lebih murah dan mengelirukan orang ramai.

"Penghapusan ini mampu membuka ruang kepada reformasi dan pertimbangan serius terhadap cadangan pembiayaan kesihatan pada masa hadapan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu beliau turut mencadangkan pengenalan rebat cukai di pusat dialisis swasta yang merawat pesakit dialisis peritoneal sebagai insentif kewangan dan sokongan kepada dasar 'National Peritoneal Dialysis First'.

Ini kerana menurutnya, dijangkakan lebih 106,000 rakyat Malaysia akan menjalani dialisis menjelang tahun 2040 dengan kebanyakannya bakal menjalani hemodialisis.

Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan ubat-ubatan bagi perkhidmatan dermatologi ekoran ramai pesakit bergantung kepada rawatan bagi memperbaiki kualiti hidup serta mengatasi stigma dan diskriminasi.

"Melabur dalam imunoterapi dan biologi memberi manfaat kos jangka panjang yang signifikan serta hasil kesihatan lebih baik.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun ubatan dan rawatan ini mungkin melibatkan kos awal yang lebih tinggi berbanding terapi tradisional, namun lebih berkesan dalam mengawal simptom, mencegah perkembangan penyakit dan mempunyai profil keselamatan yang baik," ujarnya.

Sementara itu bagi akses ubat inovatif, Azrul mencadangkan kerajaan memperuntukkan lima peratus daripada hasil tahunan duti eksais atas penjualan tembakau, vape, dan produk alkoho untuk membiayai pemerolehan ubat-ubatan inovatif.

Beliau berkata, ia akan menjadi dana berfokus, mampan dan disasarkan untuk memastikan ketersediaan terapi penyelamat nyawa bagi mereka yang memerlukan.

"Belanjawan tahunan ubat-ubatan di hospital awam sukar untuk menampung terapi inovatif yang semakin kritikal peranannya dalam rawatan," jelasnya.


Belanjawan 2025: Pahang minta kerajaan perluas akses 5G

KUANTAN - Pakej rangsangan khas bagi memperluas jaringan komunikasi dan meningkatkan akses kepada capaian 5G di seluruh negara perlu diberi tumpuan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2025.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, pertambahan peruntukan itu sangat penting bagi melancarkan pelaksanaan 5G yang kini sedang giat dilaksanakan melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) bersama Digital Nasional Berhad (DNB).

Menurutnya, akses kepada pencapaian komunikasi yang stabil akan memberi kesan langsung kepada kehidupan harian, peluang pekerjaan dan pembangunan sosio-ekonomi negara.

"Kita amat berharap agar diberikan satu pakej khas iaitu pakej rangsangan daripada kerajaan untuk tambah akses atau jaringan komunikasi khususnya 5G di seluruh negara.

"Kalau kita lihat di negara maju, memang tumpuan khusus diberikan kepada perkhidmatan atau akses komunikasi baik. Jadi, kita harap (Malaysia) harus bergerak seiring," katanya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong juga mengingatkan agar kawasan di Pahang Barat tidak dipinggirkan dalam pelaksanaan ini, sekiranya peruntukan diberikan oleh pihak kerajaan.

Tegasnya, kawasan seperti Bentong, Raub, Cameron Highlands, Lipis, Rompin, dan Jerantut masih memerlukan penambahbaikan dalam rangkaian komunikasi mereka berbanding di bandar Temerloh dan Kuantan yang sudah memperoleh capaian 5G.

"Saya harap ada peruntukan itu dan ia sudah suarakan kepada DNB untuk beri tumpuan kepada Pahang Barat sebab dasar, polisi kerajaan negeri supaya seimbang pembangunan ekonomi dan sosial (serta) jangan ada kawasan tertentu yang tertinggal," katanya.

Menyentuh peruntukan golongan belia, Fadzli meminta agar lebih banyak peruntukan disalurkan untuk program pembangunan anak muda.

Jelasnya, ekonomi yang tidak menentu akibat faktor geopolitik turut memberi kesan mendalam kepada kehidupan golongan muda.

"Saya berharap Belanjawan kali ini akan membawa peruntukan dan program yang lebih berimpak untuk membantu belia dan anak muda.

"Kalau kita gagal beri tumpuan atau fokus kepada anak muda ini memberi cabaran kepada mereka untuk hidup dalam situasi ekonomi tidak menentu pada hari ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!