MyDigital ID rekod 1 juta pengguna berdaftar

MyDigital ID berjaya merekod satu juta pengguna yang berdaftar kurang daripada setahun sejak pelaksanaannya. Gambar kecil: Mohd Mirza
MyDigital ID berjaya merekod satu juta pengguna yang berdaftar kurang daripada setahun sejak pelaksanaannya. Gambar kecil: Mohd Mirza
A
A
A

SHAH ALAM - MyDigital ID iaitu syarikat kepunyaan MyDigital ID Sdn Bhd, berjaya merekod satu juta pengguna yang berdaftar kurang daripada setahun sejak pelaksanaannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Mirza Mohamed Noor berkata, ia membuktikan kesiapsiagaan rakyat Malaysia menerima transformasi digital dengan cara yang lebih selamat, mudah dan efisien dalam mengakses perkhidmatan sektor kerajaan serta swasta dalam talian.

“Kami sangat berterima kasih kepada pengguna atas kepercayaan terhadap MyDigital ID dan keprihatinan mereka untuk melindungi diri dalam masa depan digital yang semakin mencabar.

“Penyertaan rakyat memainkan peranan penting untuk merealisasikan aspirasi aplikasi ini dan jelas menunjukkan pendudukan di Malaysia sudah bersedia beralih ke perkhidmatan digital yang selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

MyDigital ID merupakan platform pengesahan dan pengurusan identiti yang dipercayai kendalian syarikat berkenaan, mengumumkan kaedah pendaftaran secara dalam talian melalui aplikasi mudah alihnya untuk semua rakyat Malaysia bermula November tahun lalu.

Menurut kenyataan syarikatnya, rakyat Malaysia hanya perlu memuat turun aplikasi MyDigital ID melalui Google Play Store atau Apple App Store di telefon pintar mereka dan memulakan proses pendaftaran tanpa perlu ke mana-mana kios.

Dalam pada itu, Mohd Mirza memaklumkan, pencapaian tersebut juga menunjukkan langkah penting Malaysia menuju negara yang didorong digital dan menjadi bukti peningkatan kesedaran rakyat mengadaptasi teknologi berkenaan.

Tambah beliau, aplikasi berkenaan merupakan kunci digital yang boleh mengakses dengan cepat, selamat, mudah dan pada masa sama mampu melindungi maklumat peribadi serta integriti data pengguna.

Artikel Berkaitan:

“Kini, MyDigital ID telah diintegrasikan dengan beberapa aplikasi kerajaan seperti Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) mudah alih, MySejahtera, portal MyGov dan MyJPJ.

“Perkhidmatannya menyeluruh adalah merangkumi akses kepada perkhidmatan e-kerajaan yang selamat, perbankan, telekomunikasi dan penjagaan kesihatan. Platform ini juga akan ada integrasi dengan aplikasi popular dalam masa terdekat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohd Mirza berkata, data pengguna tidak akan dikumpulkan selepas membuat pengesahan identiti semasa log masuk ke platform kerajaan dan transaksi.

Ujarnya, semasa proses pendaftaran, sistem berkenaan hanya akan membandingkan maklumat yang terdapat dalam MyKad, cap ibu jari atau wajah pengguna dengan data sedia ada yang dipegang oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Setelah mendaftar dengan aplikasi kami, rakyat Malaysia tidak perlu lagi log masuk ke pelbagai platform menggunakan kata laluan yang berbeza kerana hanya satu sistem pengesahan sahaja diperlukan untuk aplikasi dan portal.

“Kami ingin tekankan dan memberi jaminan kepada masyarakat bahawa aplikasi ini tidak menyimpan sebarang data biometrik pengguna.

“Ia juga tidak mengumpul, memantau atau menyimpan data peribadi serta akan memastikan pengguna tidak mempunyai lebih daripada satu identiti sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!