KKR mohon peruntukan RM20 juta bina R&R di LTU

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

IPOH - Kementerian Kerja Raya akan memohon peruntukkan sebanyak RM20 juta bagi membina hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Lingkaran Tengah Utama (LTU) bagi kedua-dua arah.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, permohonan itu akan dibuat dalam masa terdekat kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi.

"Perkara ini telah pun kita diputuskan yang mana tapaknya telah ada. Peruntukan tersebut adalah untuk membina dua R&R dengan masing-masing RM10 juta bagi arah Gua Musang, Kelantan dan Bentong, Pahang.

"R&R ini akan dilengkapi dengan kemudahan kedai-kedai, tandas dan ruangan solat berikutan ia merupakan satu keperluan yang ditimbulkan oleh rakyat dan kerajaan Pahang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada tinjauan projek pembaikan cerun dan membaik pulih Jalan Persekutuan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai - Blue Valley di Simpang Pulai pada Jumaat.

Media pada Khamis melaporkan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Ekonomi mempertimbangkan semula pembinaan (R&R di LTU.

Baginda bertitah, keputusan untuk tidak melaksanakan salah satu komponen penting dalam projek lebuh raya itu dilihat akan menyukarkan usaha penyelesaian beberapa isu.

Terdahulu, Ahmad turut melancarkan penyediaan Garis Panduan Pemetaan dan Penilaian Bahaya Cerun bersempena dengan mesyuarat Jawatankuasa Antara Agensi Kerajaan Bagi Pengurusan Cerun Inter-Governmental Agency Committee for Slope Management (ICSM) kali ke-18 di Cameron Highland, Pahang.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, garis panduan itu merupakan salah satu pelan tindakan yang ditetapkan di bawah teras strategik Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) menerusi Pelan Induk Cerun Negara (PICN) 2009-2023.

"Saya juga ingin memaklumkan bahawa pelan induk cerun negara telah dilanjutkan kepada 2030. Kabinet telah meluluskan pelanjutan PICN itu jadi segala kerangka strategik yang ada di dalam Pelan Induk itu boleh digunakan seterusnya sehingga tahun 2030.

"Garis panduan ini telah disediakan sebagai asas lengkap pemetaan berdasarkan kawasan yang dihasilkan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan pemetaan secara linear yang dihasilkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR)," katanya.


KKR pantau 3,000 cerun berisiko seluruh negara

IPOH - Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memantau 3,000 kawasan cerun yang telah dikenal pasti berisiko melibatkan Jalan Persekutuan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemantauan menerusi Sistem Pengurusan Cerun Bersepadu (Ismas) yang diselia cawangan Kejuruteraan Cerun Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dipasang bagi mengesan sebarang pergerakan tanah.

"Cerun berisiko ini adalah hasil pemetaan yang dijalankan melibatkan lebih 27,000 kawasan cerun berhampiran Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia, Labuan, Putrajaya, Kuala Lumpur.

"Penggunaan teknologi terkini ia dapat memantau pergerakan tanah dengan tepat dan kita sentiasa ada sistem amaran di lokasi berisiko berlaku tanah runtuh.

"Jurutera daerah telah dilengkapkan dengan maklumat lengkap mengenai kawasan cerun berisiko yang disenaraikan dan bertanggungjawab melakukan pemantauan kestabilan berkala dan mengambil langkah berwaspada sambil dibantu pihak konsensi yang sudah dilantik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada tinjauan projek pembaikan cerun dan membaik pulih Jalan Persekutuan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai - Blue Valley di Simpang Pulai pada Jumaat.

Ahmad berkata, laluan FT185 Seksyen 44.1 Jalan Simpang Pulai - Blue Valley yang menghubungkan Cameron Highlands itu juga merupakan antara laluan berisiko berikutan berlakunya runtuhan setinggi 250 meter dan sepanjang 600 meter.

"Kerja-kerja pembaikan cerun telah dimulakan pada 1 Julai 2022 melibatkan skop kerja ukur tanah, siasatan tanah, kerja-kerja pengukuhan cerun, sistem perparitan dan amaran awal tanah runtuh.

"Keseluruhan kos bagi pelaksanaan projek ini adalah bernilai RM122 juta telah mencapai kemajuan kerja fizikal 33.31 peratus dan dijangka siap pada Disember 2025," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!