Dua Lelaki direman bantu siasatan kes bunuh Sabari

Kenderaan membawa suspek keluar selepas selesai permohonan reman di Kompleks Mahkamah Sungai Petani pada Jumaat.
Kenderaan membawa suspek keluar selepas selesai permohonan reman di Kompleks Mahkamah Sungai Petani pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dua suspek bunuh pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom direman pada Jumaat bagi membantu siasatan kes pembunuhan terbabit.

Dua lelaki terbabit berusia 26 dan 38 tahun dibawa menggunakan kenderaan polis dan masuk ke pekarangan Kompleks Mahkamah Sungai Petani pada jam kira-kira 9.48 pagi.

Permohonan reman dibenarkan selama tujuh hari bermula 11 hingga 17 Oktober ini oleh Majistret Anis Suraya Ahmad dan selesai kira-kira jam 10.50 pagi.

Dua suspek direman bagi membantu siasatan kes pembunuhan pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom.
Dua suspek direman bagi membantu siasatan kes pembunuhan pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom.

Ia bagi membantu siasatan kes pembunuhan Sabari Baharom, 62, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Sabari hilang pada 3 September lalu dipercayai keluar menaiki kereta Proton Waja berwarna emas.

Bagaimanapun, mangsa gagal dihubungi ahli keluarga serta tidak pulang ke rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Baling sejak dilaporkan hilang.

Kehilangan itu dianggap misteri memandangkan kereta milik mangsa ditemui terbakar di kawasan pembuangan sampah dalam gaung di Kampung Pulau Belantek, Sik.

Artikel Berkaitan:

Suspek dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Sungai Petani selepas selesai permohonan reman pada Jumaat.
Suspek dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Sungai Petani selepas selesai permohonan reman pada Jumaat.

Ahli keluarga mengesyaki Sabari dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa transaksi pemindahan wang dari akaun mangsa ke akaun bank milik orang lain dalam tempoh beberapa hari selepas kehilangannya.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh sebelum ini dilaporkan berkata, dua suspek ditahan disyaki mempunyai kaitan dengan kehilangan bapa tiga anak itu.

Menurut Fisol, hasil siasatan lanjut, suspek telah membuat pengakuan bahawa tangan mangsa diikat, manakala mulut ditutup menggunakan pita pelekat sebelum mangsa dicampak ke Sungai Padang Terap, Kampung Empa, Derang, Jitra.

Operasi pencarian telah dilakukan di sepanjang sungai selama tiga hari namun polis memutuskan untuk menghentikan operasi pada 3 Oktober berikutan tidak menemui sebarang petunjuk.

Sebelum ini, dua suspek sama telahpun direman bagi membantu siasatan berhubung kebakaran kereta milik mangsa yang ditemui di Sik, Kedah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!