Pencemaran bau berulang, dua premis dikenakan notis

Pegawai JAS Kedah melakukan pemeriksaan di salah sebuah premis susulan aduan pencemaran bau kurang menyenangkan.
Pegawai JAS Kedah melakukan pemeriksaan di salah sebuah premis susulan aduan pencemaran bau kurang menyenangkan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengeluarkan notis terhadap dua premis di daerah ini berikutan pencemaran bau yang berulang.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemantauan dilakukan pada Khamis setelah pihaknya menerima aduan mengenai bau kurang menyenangkan yang kerap berlaku pada lewat malam hingga awal pagi.

Menurutnya, pemantauan dan siasatan dipergiatkan berikutan terdapat banyak aduan awam berkaitan pencemaran udara dan bau kurang menyenangkan pada waktu malam di sekitar Bukit Banyan dan Bukit Selambau.

Sebuah premis diberikan notis arahan hasil pemeriksaan yang dilakukan pada Khamis.
Sebuah premis diberikan notis arahan hasil pemeriksaan yang dilakukan pada Khamis.

“Pemantauan turut ditumpukan ke semua kawasan industri yang berpotensi mencemarkan alam sekitar, iaitu Kawasan Perindustrian Bukit Selambau, Kawasan Perindustrian Sungai Petani, Kawasan Perindustrian Taman Ria dan Kawasan Perindustrian PKNK,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Jumaat.

Sharifah Zakiah berkata, hasil siasatan yang dilakukan, JAS Kedah mengeluarkan dua notis arahan terhadap dua premis terbabit di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Premis terbabit merupakan sebuah premis menghasilkan arang yang terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau dan sebuah premis kitar semula di Kawasan Perindustrian Sungai Petani.

“Kita arahkan supaya premis-premis tersebut menambahbaik alat kawalan pencemaran udara dan meningkatkan pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, kilang arang berkenaan pernah diambil tindakan sebelum ini kerana tiada alat kawalan manakala premis kitar semula tersebut tidak pernah dikenakan tindakan namun berada di bawah pemantauan JAS Kedah.

“Saya ucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan berharap orang ramai bekerjasama dalam melaporkan sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

“Aduan boleh disalurkan ke talian bebas tol, 1-800-88-2727 atau http:/eaduan.doe.gov.my,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!