154 projek fasiliti kesihatan sudah siap - Fadillah

Fadillah (tiga,kanan) meninjau kemudahan di Hospital Bachok semasa Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok di Bachok pada Jumaat.
Fadillah (tiga,kanan) meninjau kemudahan di Hospital Bachok semasa Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok di Bachok pada Jumaat.
A
A
A

BACHOK - Sebanyak 154 projek fasiliti kesihatan dengan kos RM 14.69 bilion bermula pada Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) hingga RMK-12 telah berjaya disiapkan oleh kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, daripada jumlah itu 111 projek di bawah RMK-9 sehingga RMK-11 manakala 43 projek lagi berada di dalam RMK-12 Rolling Plan 1 (RP1) sehingga RP4.

Fadillah (dua,kanan) bersama Mohd Nassuruddin (kanan) beramah mesra dengan hadirin pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok di Bachok pada Jumaat.
Fadillah (dua,kanan) bersama Mohd Nassuruddin (kanan) beramah mesra dengan hadirin pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok di Bachok pada Jumaat.

"Pecahan kos berdasarkan status pelaksanaan merangkumi Fasa Pra Pembinaan (Perancangan) dengan 38 projek dengan anggaran kos RM 2.33 bilion.

“Sebanyak 64 projek dengan kos RM8.4 bilion bagi Fasa Projek Dalam Pembinaan dan 52 projek bernilai RM3.96 bilion pada Fasa Pasca Pembinaan (Siap)," katanya semasa merasmikan Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok di sini pada Jumaat.

Sebahagian daripada kepimpinan dan tetamu yang hadir pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok di Bachok pada Jumaat.
Sebahagian daripada kepimpinan dan tetamu yang hadir pada Majlis Penyerahan Projek Siap Hospital Bachok di Bachok pada Jumaat.

Hadir sama ialah, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Menurut beliau, pada tahun ini sebanyak 13 buah Projek Fasiliti Kesihatan awam telah berjaya disiapkan.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ia melibatkan Hospital Seri Manjung, Perak, Hospital Kajang (Selangor), Hospital Banting (Selangor), Hospital Tawau (Sabah), Hospital Dungun (Terengganu), Hospital Miri (Sarawak), Hospital Baling (Kedah) dan Hospital Bachok (Kelantan).

Fadillah turut memberitahu, bagi Kelantan khususnya, sebanyak 21 projek telah dan sedang dilaksanakan oleh JKR dalam tempoh RMK-10 sehingga RMK-12.

Kata beliau, ia melibatkan dua projek peringkat perancangan, enam projek dalam peringkat pembinaan.

"Selain itu, 13 buah projek telah berjaya diserah merangkumi dua buah hospital iaitu Hospital Kuala Krai dan Hospital Tanah Merah.

“Hari ini, kita menyerahkan satu lagi projek kerajaan untuk dimanfaatkan oleh rakyat Kelantan iaitu Hospital Bachok,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!