Baca sejarah, fahami Rukun Negara

No Image Caption
A
A
A

BUTTERWORTH - Prinsip Rukun Negara perlu diperhebatkan semua peringkat masyarakat dan hebahan asas-asas Rukun Negara perlu diperluaskan di seluruh negara.

Ia sekali gus meningkatkan rasa cinta kepada negara dan masa sama menanamkan semangat patuh kepada perlembagaan di negara ini.

Aktivis Masyarakat Noor Hasni Saad berkata, kurangnya penghayatan mengenai konsep Rukun Negara dalam kalangan masyarakat sekali gus menyebabkan rasa cinta kepada negara itu semakin pudar.

"Apa yang kita lihat, ketika ini banyak komen negatif seperti kes menghina, mempersendakan institusi raja berpelembagaan semakin menjadi-jadi di media sosial, bagi saya individu seperti ini, mereka tidak faham bahkan langsung tidak mengerti akan konsep Rukun Negara.

"Sedangkan dalam prinsip Rukun Negara itu sendiri sudah mengandungi Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan undang-undang serta Kesopanan dan kesusilaan," katanya.

Katanya, kurangnya pemahaman mengenai Rukun Negara menyebabkan individu seperti ini tidak faham dan hanya bercakap mengikut sedap mulut sahaja.

"Jika Rukun Negara pun tidak faham, ia akan mengakibatkan individu yang layak digelar tidak sedar diri ini bercakap main suka-suka sahaja, sedangkan mereka harus ingat dalam apa sekalipun ada batas-batasnya.

"Mereka seperti ini berlagak dengan mengatakan hak kebebasan mengatasi segalanya sedangkan negara punya undang-undang yang perlu dipatuhi demi untuk memelihara keharmonian yang sedia ada," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, dalam soal ini, kerajaan perlu mengambil langkah drastik dengan memperhebatkan kempen penghayatan Rukun Negara di semua peringkat masyarakat.

"Bukan sekadar di sekolah, namun kempen penghayatan Rukun Negara perlu diperluaskan ke peringkat pengajian tinggi termasuk kolej dan universiti, tempat-tempat awam, pasaraya dan semua tempat dan kawasan.

"Dan masa sama melalui hebahan media massa, baik di televisyen, akhbar mahupun radio, kempen sebegini perlu diperluaskan dan diperhebatkan, untuk memastikan rakyat faham akan Rukun Negara, hafal dan menghayatinya," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati menghina institusi Raja Berpelembagaan di negara ini.

"Tidak salah saya katakan mereka yang main cakap lepas, hina Raja-raja ini, perlu dilucutkan segara kewarganegaraan mereka, sebab apa, sebab mereka ini tidak sedar dek untung, langsung tidak sedar diri dan berlagak langsung tidak hormat kepada Raja-raja.

"Saya juga ingin menempelak pihak-pihak yang seolah cuba mempertahankan individu-individu 'penderhaka' seperti ini, saranan saya, balik buka buku sejarah, baca semula sejarah negara ini dan baca semula Rukun Negara," katanya.



Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!