Penolong pegawai perubatan didakwa amang seksual remaja perempuan

Seorang penolong pegawai perubatan kontrak di sebuah hospital kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun, lima bulan lepas. Foto hiasan
Seorang penolong pegawai perubatan kontrak di sebuah hospital kerajaan didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun, lima bulan lepas. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penolong pegawai perubatan kontrak di sebuah hospital kerajaan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun, lima bulan lepas.

Norazmazaimy Mohamad, 33, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap remaja berkenaan bagi tujuan seksual, di dalam bilik di Jabatan Perubatan Kecemasan sebuah hospital di Bandar Tun Razak, Cheras di sini antara 9 pagi hingga 11 pagi, pada 5 Mei.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd Rauf tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin, manakala peguam Fahmi Adilah yang mewakili lelaki itu memohon jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya merupakan penjawat awam berstatus kontrak dan baharu sahaja mendirikan rumah tangga pada Ogos.

"Anak guam saya merupakan seorang penolong pegawai perubatan kontrak dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan. Kontrak jawatannya itu akan tamat pada Disember ini. Oleh itu, saya mohon supaya jaminan dibenarkan,” kata peguam itu.

Hakim Tasnim Abu Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran, dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 12 November ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!