Sukar buat tuntutan jika pemandu sakit mental
SHAH ALAM - Pihak berkuasa perlu mencari jalan untuk memastikan ada pihak yang bertanggungjawab terhadap kemalangan disebabkan oleh pemandu disahkan pesakit mental.
Pakar automotif, Hezeri Samsuri berkata, ketika ini amat sukar untuk pihak terlibat terutamanya mangsa membuat sebarang tuntutan ganti rugi dan sebagainya.
"Kalau pemandu mempunyai masalah mental, sukar untuk buat sebarang tuntutan jika terlibat kemalangan dan pemandu hanya akan dihantar ke unit rawatan mental.
"Sebab itu kita kena ada cara untuk pastikan pesakit mental tidak ada akses pada kenderaan dan kena ada yang bertanggungjawab.
"Ini bukan soal susah, leceh atau meroyan. Ini soal keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya yang mungkin membabitkan orang yang anda sendiri kenal," katanya menerusi hantaran di laman X pada Jumaat.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut apabila motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu seorang wanita.
Mangsa yang maut ialah Khairil Anwar Jamaludin, 20; Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dan Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20,
Pemandu wanita yang merempuh mangsa dipercayai tidak siuman dan kini direman empat hari bermula Khamis.
Dalam pada itu Hezeri berpandangan, individu yang mempuyai sejarah sakit seperti sawan perlu pengawasan kesihatan bagi menentukan sama ada mereka layak untuk memandu atau sebaliknya.
"Kepada mereka yang kata aku terlebih meroyan, kamu tiada tempat di jalan raya kerana gagal untuk fikirkan tentang pengguna jalan raya yang lain," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!