Pesawah mengeluh kilang turunkan harga belian padi RM1,450

Abdul Rashid (dua dari kiri) bersama beberapa pesawah menunjukkan tanaman padi fasa ketiga di Padang Langgar, Alor Setar yang sedang menunggu masa untuk dituai pada Jumaat.
Abdul Rashid (dua dari kiri) bersama beberapa pesawah menunjukkan tanaman padi fasa ketiga di Padang Langgar, Alor Setar yang sedang menunggu masa untuk dituai pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Pesawah di Padang Langgar, dekat sini mengeluh apabila pengilang secara mengejut menurunkan harga belian padi daripada RM1,800 kepada RM1,450 per tan bermula Khamis.

Seorang pesawah, Mohd Badrul Nizam Meh, 43, berkata, tindakan pengilang tersebut menyaksikan ramai pesawah yang belum menuai padi akan berdepan kerugian kerana tidak dapat menampung kos menanam yang ditanggung mereka sebelum ini.

Mohd Badrul
Mohd Badrul

“Kami memang sangat kecewa apabila pengilang umum harga belian padi turun sehingga RM1,450 per tan, sedangkan mereka sebelum ini beli pada harga RM1,800.

“Saya masih ada kira-kira 20 relong (5.7 hektar) sawah belum dipotong, jika saya jual pada harga RM1,450 maka saya tidak akan dapat apa-apa hasil selepas tolak kos benih, racun, baja dan sewa jentera,” katanya semasa ditemui di Padang Langgar pada Jumaat.

Masliza
Masliza

Seorang lagi pesawah, Masliza Md Desa, 49, berkata, penurunan harga belian padi itu boleh melemahkan semangat pesawah untuk memulakan musim tanaman baharu kerana enggan menanggung kerugian lebih besar lagi selepas ini.

Menurutnya yang mengusahakan sawah seluas 2.88 hektar, kos tanaman padi ketika ini meningkat sehingga RM1,200 bagi 0.28 hektar dan bagi keluasan itu dianggarkan memperoleh hasil antara 1.2 hingga 1.3 tan padi sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Saya mungkin boleh dapat hasil jualan padi RM14,500 tetapi selepas tolak kos kira-kira RM12,000 maka saya hanya dapat RM2,500. Dengan modal sebanyak itu macam mana saya nak mulakan musim tanaman baharu?” katanya.

Pesawah di Jalan Langgar, Alor Setar memohon kerajaan campur tangan dalam isu penurunan harga belian padi kerana mampu menyebabkan pesawah menanggung kerugian.
Pesawah di Jalan Langgar, Alor Setar memohon kerajaan campur tangan dalam isu penurunan harga belian padi kerana mampu menyebabkan pesawah menanggung kerugian.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob mahu kerajaan campur tangan dalam isu penurunan harga belian padi ini kerana mampu menyebabkan pesawah menanggung kerugian.

Menurutnya, kira-kira 1,000 pesawah bakal terjejas dan kebanyakan mereka adalah yang berada di kawasan fasa tiga tanaman padi pada musim lalu.

“Dianggarkan antara 5,000 hingga 6,000 hektar sawah masih belum dituai kerana menunggu giliran jentera, jadi keadaan ini tidak adil kepada mereka kerana ada pesawah di kawasan lain lebih awal dibeli pada harga RM1,800 per tan.,” katanya.

“PeSAWAH menggesa pengilang mengekalkan harga belian padi pada RM1,800 sekurang-kurangnya sehingga tamat musim menuai pada musim ini,” ujarnya.

Tambahnya, PeSAWAH sebelum ini telah mendesak agar harga lantai belian padi yang ditetapkan kerajaan pada RM1,300 per tan dinaikkan kepada RM1,800 bagi mengelak tindakan manipulasi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!