Isu kapal tentera China: Mas Ermieyati dakwa kenyataan Fadhlina tidak benar

Foto tular media sosial. Gambar kecil: Mas Ermieyati
Foto tular media sosial. Gambar kecil: Mas Ermieyati
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang ahli Parlimen pembangkang mempersoal kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung kehadiran 165 kadet kapal Tentera Laut Republik Rakyat China (RRC) di Pulau Pinang baru-baru ini.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendakwa, penjelasan yang dibuat Fadhlina bahawa kunjungan itu melibatkan pensyarah dan pelajar universiti bagi mengikuti program pertukaran budaya adalah tidak benar.

"Menurut kenyataan Yang Berhormat Fadhlina, lawatan berkenaan hanyalah aktiviti pertukaran budaya antara dua kelompok atau kumpulan pelajar dari Naval University Of China dengan pelajar Sekolah Menengah Swasta Chung Ling di Pulau Pinang sempena sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia–China.

"Kenyataan ini tidak benar, kerana 165 orang kadet People’s Liberation Army Navy (PLAN) dari kapal Qi Jiguang (kapal latihan) ini adalah mereka yang dalam proses dan tempoh peralihan untuk menjadi kelasi penuh tentera laut China dan bukanlah pelajar universiti seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Fadhlina.

"Ia seakan sama seperti anak-anak kapal KD Pelandok Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjalani latihan untuk menjadi kelasi penuh TLDM," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Fadhlina pada Khamis menafikan dakwaan kehadiran tentera dari China ke Pulau Pinang, Sabtu lalu sebaliknya mereka merupakan pelajar dari Naval University Of China.

Menurutnya, lawatan melibatkan seramai 165 pelajar termasuk pensyarah itu adalah bersifatkan program diplomatik dan pertukaran kebudayaan bagi mengukuhkan hubungan persahabatan antara Malaysia dan China.

Sementara itu, Mas Ermieyati turut membidas tindakan Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Swasta Chung Ling membuat sambutan besar-besaran menerima kunjungan kadet dan kelasi kapal Qi Jiguang dan Jinggang Shan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perbuatan berkenaan juga didakwa sebagai tidak sensitif dengan situasi integriti kedaulatan maritim negara.

"Ini adalah bukti kecuaian pihak Kerajaan Pulau Pinang yang tidak sensitif terhadap situasi integriti kedaulatan maritim dan tuntutan bertindih yang dibuat oleh RRC di Luconia Shoals atau gugusan Beting Patinggi Ali yang terletak 84 batu nautika dari pesisir pantai Sarawak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!