Guna pas lawatan jadi pengedar dadah
KUALA LUMPUR - Taktik dua lelaki warga India yang masuk ke negara ini dengan menggunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah terbongkar selepas diberkas di Jalan Pantai Murni di sini Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy berkata, operasi kira-kira jam 4.35 petang itu dijalankan dalam operasi khas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sentul.
Menurutnya, pemeriksaan pada dua lelaki berusia 24 dan 26 tahun itu menjumpai dadah ketamin seberat kira-kira 4 kilogram (kg).
"Soal siasat terhadap suspek membawa serbuan di sebuah kondominium di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
"Pemeriksaan lanjut menjumpai dadah jenis ketamin dianggar seberat 4.5kg dan syabu (950 gram) di ruang tamu kediaman terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul hari ini.
Beliau berkata, selain rampasan dadah bernilai RM430,000, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM500 serta sebuah motosikal jenis Yamaha Ego.
Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek telah aktif mengedar dadah sejak tiga bulan lalu di sekitar Lembah Klang dan percaya suspek menyewa kondominium terbabit sebagai tempat pembungkusan dadah.
"Kita sedang siasat siapa rangkaian dan dalang mereka. Tapi polis percaya dadah itu diseludup masuk dari negara India.
"Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!