4 pelajar Darul Quran Ittifaqiyah hilang ditemui selamat
KUALA LUMPUR - "Alhamdulillah syukur. Anak saya bersama tiga kawannya selamat ditemui."
Demikian luahan rasa syukur Rasidi Othman, bapa kepada pelajar sekolah Darul Quran Ittifaqiyah, Muhammad Abdul Razak yang disyaki hilang sebelum ini.
Rasidi berkata, anaknya dan tiga lagi pelajar berada dalam pengawasan pihak polis.
Katanya, dia turut dimaklumkan bahawa kesemua pelajar tersebut dijumpai di Bangi, Selangor.
"Saya harap tuan (media) dapat tolong uar-uarkan dan memberi tahu kepada semua bahawa kes pelajar yang hilang ini sudah selesai," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Rasidi berkata, kejadian ini merupakan satu ujian kepada dirinya dan keluarga, namun ada hikmah di sebaliknya.
Jelasnya, masih ramai orang di luar sana yang diuji dengan dugaan yang jauh lebih berat daripadanya.
Menurutnya, semua kejadian yang berlaku perlu dilihat sebagai satu 'hikmah' daripada Yang Maha Esa.
Namun katanya, dia bernasib baik apabila ALLAH telah mengakhiri ujian kepadanya apabila semuanya sudah selesai.
"Inilah nikmat hamba yang sentiasa bergantung kepada Yang Maha Esa dan mungkin ia ujian saya akan datang, kita tidak tahu.
"Malah daripada kejadian ini, kita dapat berkenalan atas semua aturan-Nya," ujarnya.
Ditanya mengenai kejadian berlaku, Rasidi berkata, dia sekeluarga bersama pihak sekolah tahfiz telah melakukan pencarian pada Isnin, hari kehilangan keempat-empat pelajar tersebut.
Tambahnya, usaha pencarian turut dilakukan bersama beberapa kenalan daripada kalangan polis peronda.
"Bila sudah tidak jumpa, baru pihak tahfiz membuat laporan polis pada Selasa," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihak polis akan memaklumkan perkembangan terkini kes kehilangan pelajar tersebut dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!