Perang hon angkara parkir bertindih di bahu jalan PPR Pantai Ria
KUALA LUMPUR - Parkir penuh menyebabkan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria di sini terpaksa meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan hingga mengganggu kelancaran trafik terutama pada waktu puncak.
Ia selepas laluan dua hala itu menjadi satu lorong susulan parkir bertindih di jalan sepanjang hampir 500 meter itu.
Keadaan menjadi tidak terkawal pada waktu pagi dan petang selepas peningkatan trafik menggunakan jalan itu.
Penduduk, Faizah Abd Aziz, 38, berkata, laluan itu bukan hanya digunakan penduduk empat blok PPR Pantai Ria sebaliknya turut dikongsi bersama pangsapuri berhampiran.
Menurutnya, jalan tersebut turut dijadikan alternatif pengguna dari luar bagi mengelak jalan bertol.
"Terdapatnya sekolah agama berhampiran juga antara punca jalan di sini sesak pada waktu puncak.
"Selain itu, kereta tersadai tidak bergerak yang memenuhi ruang petak PPR antara masalah parkir terhad di sini," katanya sewaktu tinjauan Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Katanya, dia akan keluar awal jika mempunyai urusan janji temu doktor bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan trafik.
"Kalau janji temu doktor jam 8 pagi, biasanya 6.30 pagi saya sudah keluar rumah.
"Jalan akan sesak jam 7 pagi, ada pernah terperangkap hampir setengah jam untuk jarak yang sejengkal kerana masing-masing tidak mahu beralah apabila kenderaan bertembung," katanya.
Dia yang sudah tinggal di kawasan berkenaan selama 14 tahun berkata, masalah parkir dihadapi penduduk sejak sekian lama menyebabkan parkir bertindih tidak dapat dielakkan.
Lebih malang katanya, parkir untuk orang kurang upaya (OKU) turut digunakan orang biasa meletakkan kenderaan.
"Sudah diletakkan papan tanda dan ada simbol OKU di petak parkir pun tidak diendahkan.
"Kalau parkir sekejap tidak mengapa, ini ada yang parkir sampai seminggu kereta tidak dialihkan, sudahnya OKU seperti suami saya terpaksa menggunakan parkir biasa," katanya.
Seorang lagi penduduk, Nurul Hasnida Abu Hasan, 33, berkata, terdapat dua lokasi punca kesesakan dikesan melibatkan laluan keluar masuk jalan utama serta di hadapan sekolah agama.
"Kalau keadaan tidak terkawal akan berlaku perang hon, terutama jika waktu puncak dan ketika hujan, jalan akan menjadi lebih sesak daripada biasa.
"Situasi itu menyebabkan ada sukarelawan daripada kalangan penduduk yang akan bantu kawal lalu lintas," katanya.
Katanya, isu tersebut boleh diatasi dengan penyediaan anggota keselamatan yang mengawal lalu lintas serta tindakan penguatkuasaan kepada penjaja.
"Ada antara peniaga meletakkan halangan seperti kerusi meja atau cop parkir yang turut menyumbang kepada masalah kelancaran trafik di sini.
"Sepanjang jalan ini terdapat banyak gerai beroperasi tidak pasti berlesen atau tidak, jika boleh minta penguat kuasa pantau dan ambil tindakan.
"Selain itu, dengan adanya petugas trafik, mungkin dapat membantu mengambil tindakan terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas terutama ketika waktu puncak," katanya.
Seorang lagi penduduk, Hud Ibrahim, 34, berkata, isu halangan itu dapat diatasi dengan penyediaan tambahan parkir buat penduduk.
"Satu rumah ada yang miliki dua ke tiga kereta, sebab itu parkir yang disediakan tidak cukup hingga terpaksa parkir hingga ke tepi jalan.
"Keadaan sekarang pun sudah sesak teruk, saya bimbang keadaan akan jadi semakin tidak terkawal jika terdapat projek pembangunan di sekitar sini pada masa hadapan," katanya.
Ujarnya, dia bersama beberapa penduduk ada mengambil inisiatif membantu kawalan lalu lintas pada waktu puncak.
"Itu pun sudah beberapa kali kena langgar sebab pengguna jalan yang bersikap penting diri dan tidak mahu beralah ketika jalan sesak.
"Kalau boleh disediakan parkir bertingkat, kami pun teringin parkir selesa seperti di PPR lain tapi tiada tanah untuk projek tersebut.
"Sebelum ini ada tapak lapang bersebelahan PPR tapi sudah dibangunkan sekolah agama, ada lagi satu tempat pula dijadikan tapak untuk operasi bas percuma GoKL," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!