Kerajaan jangan tergesa-gesa laksanakan PPSMI

Gambar kecil: Noor Effandi
Gambar kecil: Noor Effandi
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) wajar dilaksanakan namun tidak seharusnya pelaksanaan itu dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

Exco Pendidikan Modal Insan, Sains dan Inovasi Melaka, Datuk Noor Effandi Ahmad berkata, kegagalan PPSMI dahulu banyak disebabkan faktor perlaksanaannya yang dilakukan dalam tempoh kajian terhad sehingga kurang persediaan dalam kalangan guru selain ekosistem yang belum cukup kuat bagi menyokong matlamat yang diimpikan.

Menurutnya, kajian menyeluruh dengan menyemak segala kekurangan mahupun kekangan yang berlaku bagi tempoh 10 tahun itu iaitu bermula pada tahun 2003 hingga 2012 perlu dilakukan dengan lebih teliti dan paling penting semua guru diberikan latihan serta pendedahan yang mencukupi.

"Saya menyokong penuh usul Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengembalikan PPSMI selaras dengan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar namun saya tidak bersetuju sekiranya PPSMI ini dilaksanakan bermula tahun 2021 kerana kegagalan sebelum ini antara faktornya disebabkan tergesa-gesa melaksanakannya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, pelaksanaan PPSMI kali kedua perlu ditambah baik dan diperhalusi untuk memperbaiki segala kelemahan malah dimulakan kepada murid-murid Tahun Satu sahaja dan bukannya serentak dengan pelajar Tingkatan Satu.

Ujarnya, situasi pendidikan rendah semasa yang tidak menekankan peperiksaan bagi murid-murid di Tahun Satu hingga Tahun Tiga membolehkan ia direalisasikan tanpa memberikan tekanan melampau kepada murid-murid dan juga ibu-bapa.

"Tiga tahun pertama alam persekolahan anak-anak kecil ini wajar dijadikan medium pendedahan awal yang menyeronokkan, penuh inspirasi dan paling penting mereka tidak melihat ilmu dan bahasa Inggeris itu satu bebanan dan tekanan.

"Biar lambat 11 tahun untuk murid tahun pertama menamatkan persekolahan, tapi saya yakin hasilnya lebih kemas dan mencapai matlamat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN PPSMI: Kerajaan akan buat keputusan dalam masa terdekat, kata Mahathir

Sukar faham Sains jika tidak fasih Bahasa Inggeris: Tun M

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!