[VIDEO] Tidak lena tidur risau banjir besar 2010 berulang

A
A
A

ALOR SETAR - Seorang warga emas dari Kampung Suka Menanti, di sini, tidak lena tidur berikutan bimbang kejadian banjir besar 2010 berulang.

Halimah Yahya, 64, berkata, ia memandangkan banjir kali ketiga dalam tempoh tidak sampai sebulan dilihat agak luar biasa mengingatkan dirinya kepada banjir besar kira-kira 14 tahun lepas.

Dia bimbang air makin naik sekiranya berlaku pertembungan limpahan air Sungai Kedah dan ramalan air pasang besar benar-benar berlaku pada 18 Oktober depan.

"Ketika banjir kali pertama, air naik hingga paras 0.5 meter hingga saya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Stadium Sultan Abdul Halim pada bulan lepas, disusuli air pada paras 0.3 meter ketika gelombang kedua dan ketiga.

"Jadi, malam-malam saya tidak tidur lena kerana risau banjir 2010 berulang sebab air belum surut dan beberapa hari lagi diramalkan berlaku air pasang. Jadi, kalau bertembung takut air naik lagi tinggi dari sekarang," katanya ketika ditemui di Kampung Suka Menanti di sini, pada Jumaat.

Kata suri rumah itu, dia kerap bangun dan termenung memikirkan keadaan banjir melanda beberapa daerah terutamanya Alor Setar, sekali gus bimbang banjir besar berlaku nanti.

"Pada 2010, air naik setinggi satu meter hingga menenggelamkan pelbagai barang dan perkakas kediaman sehingga terpaksa tanggung banyak kerugian akibat kerosakan.

"Banjir kali pertama menyebabkan perabot rosak, jadi saya amat risaukan banjir 2010 itu berulang kembali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia ketika ini tidak berpindah ke PPS disebabkan beberapa PPS berhampiran telah penuh dan suaminya juga kurang sihat.

Muhd Aizat dan anaknya, yang berusia sembilan bulan, Muhammad Saif Asyyash ketika ditemui di rumahnya yang dinaiki air di Kampung Suka Menanti.
Muhd Aizat dan anaknya, yang berusia sembilan bulan, Muhammad Saif Asyyash ketika ditemui di rumahnya yang dinaiki air di Kampung Suka Menanti.

Sementara itu, Muhd Aizat Adha Salleh, 29, berkata, dia masih tinggal di rumahnya walaupun kebanyakan kediaman di kawasan perkampungan yang terletak berhampiran sungai telah ditenggelami air.

Bagaimanapun, katanya, mereka sekeluarga bersiap sedia untuk berpindah ke PPS sekiranya banjir melanda Kedah makin memburuk.

"Ketika gelombang ketiga melanda Selasa lepas, berlaku hujan dan air naik dengan laju namun saya sempat membawa motosikal ke tempat lebih tinggi berhampiran rumah.

"Jikalau diikutkan, ketika meredah air untuk naik ke rumah, bimbang ada haiwan berbisa seperti ular tetapi mujur tidak jumpa," katanya.

Menurutnya, dia pernah merasai pengalaman banjir besar pada 2010 apabila air naik hingga paras 0.5 meter dan bimbang ia akan berulang kembali.

Katanya, banjir sebanyak tiga kali telah menyebabkan beberapa kerosakan termasuklah katil dan kabinet dalam kediamannya.

"Jadi, saya harap pihak berkaitan dapat turun membuat bancian untuk mengambil maklumat mangsa banjir yang tidak dapat ke PPS disebabkan keadaan tidak mengizinkan dan masalah tertentu, sekali gus menyalurkan sedikit bantuan demi meringankan beban kami," katanya.

Salmi mencuci kawasan rumah yang surut di Kampung Suka Menanti.
Salmi mencuci kawasan rumah yang surut di Kampung Suka Menanti.

Seorang lagi mangsa banjir, Salmi Din, 56, memberitahu, dia kini berpindah ke PPS SMK Dato Syed Omar berikutan sekitar rumahnya dinaiki air separas 0.3 meter.

Bagaimanapun, katanya, dia pulang sekejap untuk memantau perkembangan banjir di rumah dan membersihkan kawasan rumah yang telah surut.

"Saya juga ada dengar-dengar air pasang akan naik pada Jumaat minggu depan, takut juga banjir lebih besar namun reda dan terima apa yang berlaku.

"Cumanya, sedikit terkejut dan tidak sangka dalam tempoh tak sampai sebulan, sudah tiga kali banjir berlaku," ujarnya.

Berdasarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Kedah, daerah Kota Setar merekodkan jumlah mangsa tertinggi berikutan banjir kali ketiga dalam tempoh tidak sampai sebulan iaitu seramai 1,699 mangsa banjir diikuti Kubang Pasu (613), Pokok Sena (563) dan Pendang (515).

Setakat jam 12 tengah hari, kesemua mangsa, kesemua mangsa dari 513 keluarga dari enam mukim di daerah Alor Setar tersebut ditempatkan di sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Sembilan PPS bagi daerah Kota Setar itu termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah,Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Aman, SK Titi Gajah, SK Titi Haji Idris, SMK Kepala Batas, SK Sri Gunong,SMK Tunku Abdul Malik,SK Gunung dan SMK Dato Syed Omar.

Sebanyak 26 kampung di daerah Kota Setar dinaiki air seperti Kampung Alor Merah,Kampung Alor Gunung, Kampung Suka Menanti, Kampung Seberang Pantai Johor, Kampung Alor Madi, Kampung Seberang Chegar, Kampung Bohor Kampung Alor Perang, Kampung Alor Senjaya, Kampung Tajar, Kampung Alor Pak Ngah dan Kampung Alor Sekawan.

Sehingga kini, lima sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Anak Bukit di Kepala Batas, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata di Kampung Bata dan Sungai Pendang.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!