Telekinesis taruhan terbaharu Syafiq Yusof
SELEPAS kejayaan filem aksi nombor satu paling laris di Malaysia, Sheriff, pengarah Syafiq Yusof kembali dengan supertele berjudul Telekinesis.
Naskhah yang boleh ditonton menerusi Astro First sejak 10 Oktober lalu merupakan sebuah karya sains fiksyen (sci-fi) yang menampilkan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Yusuf Bahrin, Aman Graseka, Nick Davis, Hasnul Rahmat, Wanji Aswand, Shabby dan ramai lagi.
Menurut Syafiq, menerusi Telekinesis, dia membawa penonton ke sebuah dunia yang penuh dengan aksi, ketegangan dan misteri.
"Sci-fi memberi ruang kepada saya untuk meneroka kisah yang lebih mendalam, di mana penonton akan dihidangkan bukan sekadar pertempuran kuasa, tetapi pergolakan emosi dan pengkhianatan yang merungkai sebuah misteri.
"Penonton akan dibawa ke dalam konflik setiap watak, di samping menikmati visual yang menarik. Saya yakin Telekinesis akan memberi pengalaman berbeza, dan membuka ruang untuk pembikin filem kita mempertaruhkan potensi genre sci-fi di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Telekinesis mengisahkan tentang Fadli, Aru dan Lee yang menjalani kehidupan sebagai ahli organisasi ‘National Telekinesis Security Force’ (NTSF).
Mereka ditugaskan untuk menumpaskan sebuah gerakan rahsia yang dipanggil ‘Telekinesis Liberty Movement’ (TLM).
Misi NTSF menjadi rumit apabila seorang lelaki misteri bertopeng yang dipanggil ‘Helang' mengganggu setiap operasi NTSF. Misi Fadli dan Lee adalah untuk menumpaskan TLM dan Helang, manakala Aru mengesyaki ada pengkhianat di kalangan mereka, menjadikan misi ini semakin mencabar dan mendebarkan.
Telekinesis diterbitkan Viper Studios dan merupakan salah sebuah karya di bawah Dana Program TV/OTT Finas dengan kerjasama Astro. Sesi penggambaran Telekinesis di buat semasa fasa pemulihan pandemik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!