Tiada pengenalan diri, wanita gelandangan warga Rusia ditahan

Wanita warga Rusia tiada pengenalan diri ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh dan menghalang lalu lintas di Jalan Setia Perdana, Seksyen U13 Setia Alam, Shah Alam Selangor pada Rabu.
Wanita warga Rusia tiada pengenalan diri ditahan kerana berkelakuan tidak senonoh dan menghalang lalu lintas di Jalan Setia Perdana, Seksyen U13 Setia Alam, Shah Alam Selangor pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mengesahkan menahan seorang wanita gelandangan warganegara Rusia yang tiada pengenalan diri di Setia Alam, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima satu panggilan awam jam 4.50 petang kerana terdapat seorang perempuan warga asing berkelakuan tidak senonoh dan menghalang lalu lintas di Jalan Setia Perdana, Seksyen U13.

Ekoran itu kata beliau, anggota unit kereta peronda telah diarahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan.

Beliau berkata, semasa pihak polis sampai di lokasi kejadian telah mendapati perempuan tersebut bersama seekor anjing miliknya dalam keadaan mabuk dan telah bertindak agresif sebelum tangkapan dilakukan.

"Pemeriksaan lanjut ke atas perempuan tersebut mendapati dia tiada pengenalan diri yang sah tinggal di Malaysia.

"Wanita itu telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, manakala anjingnya diserahkan kepada pihak Majlis Perbandaran Shah Alam untuk tindakan lanjut.

"Wanita warganegara Rusia berumur 32 tahun itu dipercayai hidup gelandangan dan tiada sebarang rekod jenayah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, wanita itu datang ke Malaysia sejak empat tahun yang lalu untuk melancong dan gagal untuk pulang ke negara asal kerana pandemik Covid-19 serta tidak mempunyai simpanan wang secukupnya untuk pulang.

Artikel Berkaitan:

Mohd Iqbal berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati wanita itu positif dadah.

Jelas beliau, wanita tersebut telah ditahan reman di lokap IPD Shah Alam selama 14 hari bermula Rabu sehingga 22 Oktober ini.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mohammad Shamsul Md Salleh di talian 017-5453234," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!