Bapa bebas tuduhan bunuh anak lelaki

Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Mahkamah Tinggi Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang bapa daripada pertuduhan membunuh anak lelakinya, tiga tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Dr Hazlina Hussain membebaskan warga emas, S Krisman, 75, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan.

Tertuduh didakwa membunuh K Apacnaidu, 37, di sebuah rumah di Jalan Kemudi, Taman Bernam Jaya, Ulu Bernam di sini antara jam 11 dan 11.30 pagi, 3 November 2021 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Hazlina dalam penghakimannya berkata, walaupun pihak pendakwaan telah menggunakan 'circumstances evidence' (bukti mengikut keadaan) dan 'last seen theory' (dilihat terakhir) untuk membuktikan kes itu, mahkamah mendapati tiada saksi mata di dalam kes berkenaan.

"Asid deoksiribonukleik (DNA) tertuduh tidak dijumpai pada pisau untuk membuktikan dia melakukan perbuatan itu dan mahkamah mendapati dua DNA berasingan turut dijumpai.

"Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kesalahan terhadap tertuduh.

"Oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan dihadapinya," kata Hazlina.

Sebanyak sembilan saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 23 November tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Jun lepas, mahkamah memerintahkan Krisman membela diri atas pertuduhan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Krisman diwakili peguam Dr Vasu Appu dan Jenifer Irithisamy manakala Timbalan Pendakwa Raya Tengku Intan Suraya Tengku Ismail bertindak bagi pihak pendakwaan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!