Individu terlibat kes samun di Bangsar, Brickfields diberkas

Suspek dipercayai terlibat dua kes samun di Bangsar dan Brickfields, di sini pada Isnin ditahan polis. Foto hiasan
Suspek dipercayai terlibat dua kes samun di Bangsar dan Brickfields, di sini pada Isnin ditahan polis. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang suspek dipercayai terlibat dua kes samun di Bangsar dan Brickfields, di sini pada Isnin ditahan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, dalam kejadian pertama jam 7.30 pagi, seorang wanita berusia 78 tahun ditemui di tepi Jalan Limau Manis, Bangsar dalam keadaan separa sedar dan mengalami kecederaan di kepala.

Beliau berkata, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa dilihat telah diragut oleh suspek yang menaiki motosikal dan kemudiannya bertindak melarikan diri.

Pada hari sama jam 6.15 pagi, kata beliau, satu kes ragut telah berlaku berhampiran stesen minyak Petronas di pekan Brickfields.

Katanya, mangsa telah didatangi oleh seorang lelaki bangsa tidak pasti turut memakai jaket berwarna hitam dan menaiki motosikal.

"Suspek telah meragut beg sandang berwarna putih milik pengadu yang mengandungi wang tunai, kad bank dan kunci rumah.

"Selepas itu, suspek telah bertindak melarikan diri dengan menaiki motosikal.

"Bertindak atas maklumat yang diperoleh menerusi siasatan di sekitar tempat kejadian, pihak polis telah berjaya mengesan dan menangkap suspek di kawasan Ampang, Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Ku Mashariman berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam kedua-dua kes ragut tersebut.

Menurutnya, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 394 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, suspek telah ditahan reman selama enam hari bermula Jumaat sehingga Rabu.

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh disalurkan kepada hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!