Palestin akan bebas dengan sokongan rakyat Eropah
KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia yakin Palestin akan dibebaskan dengan sokongan rakyat Eropah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yakin negara Islam itu akan bebas dan merdeka sedikit masa lagi.
Menurutnya, ada orang Kristian di Brisbane, Berlin, Rom bahkan di New York yang membakar diri kerana tidak tahan melihat kezaliman dilakukan Israel terhadap Palestin.
“Tapi ada negara Arab pula menghulurkan tangan bekerjasama dengan Israel, inilah malangnya.
“Namun kita jangan bimbang, ada umat Islam yang bersedia untuk mati di jalan ALLAH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ‘Himpunan Setahun Gaza, Demo Mega’ di Dataran Tabung Haji, pada Jumaat.
Mohamad Sabu yang juga Presiden Amanah berkata, setakat ini, Malaysia hanya mampu memberi sokongan moral dan tidak terlibat memberi bantuan senjata kepada Palestin.
“Malaysia akan terus membantu Palestin dari sudut kebajikan. Namun ada negara Islam juga yang tidak menghulur bantuan kepada Palestin.
“Pentas Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga tidak berguna, hanya menjadi tempat pertandingan syarahan apabila penjenayah perang seperti Benjamin Netanyahu dibenarkan berucap,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia akan memikirkan formula terbaik bagi membantu rakyat Palestin yang dihimpit dengan penindasan.
“Sebab itulah saya menyuruh Perdana Menteri Malaysia ikhtiarkan satu formula baru untuk menegakkan keadilan, tata cara keadilan di dunia ini.
“Ini yang perlu diikhtiarkan kerana PBB telah dipengaruhi oleh Amerika dan Britain yang melindungi Israel sekarang ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Pas, Nadzir Helmi berkata, Malaysia mahu Israel menghentikan serangan berterusan terhadap penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat.
“Israel perlu menarik keluar semua tenteranya dari semua wilayah Palestin, dan Baitulmaqdis Timur, batalkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, hapuskan kepungan ke atas Gaza dan penempatan haram Yahudi,” katanya.
Menyuarakan hasrat yang sama, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, satu memorandum akan diserahkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) untuk mendesak pengunduran tentera Israel dari terus menjajah Palestin.
“Memorandum ini antaranya menyatakan kekesalan terhadap pentadbiran Joe Biden yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai dan jenayah terhadap kemanusiaan oleh Israel.
“AS telah membekalkan Israel dengan senjata pembunuhan paling canggih bukan untuk mempertahankan diri tetapi untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai pada skala paling besar,” katanya.
Difahamkan Himpunan ‘Setahun Gaza, Demo Mega’ akan turut diadakan esok di Masjid KLCC, jam 2 petang dan Star Hill Square pada jam 8 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!