Haram dan berdosa buka aib pasangan
KUALA LUMPUR - Memelihara aib pasangan dan menutup segala kekurangannya merupakan satu amanah.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, hukum mendedahkan aib itu haram dan berdosa.
Bagaimanapun, ia menjadi harus jika bertujuan menyelesaikan masalah atau memberikan keterangan kepada badan autoriti seperti di hadapan hakim mahkamah.
"Perkongsian berkait hal peribadi pasangan dan masalah rumah tangga di media sosial tidak sewajarnya dilakukan, ia bukan saluran tepat kerana boleh mencetuskan kekeruhan.
"Hal ini kerana, keharusan yang diberikan oleh syarak untuk suami atau isteri menceritakan aib pasangannya adalah jika ia bertujuan untuk menyelesaikan masalah, memberi keterangan kepada badan berautoriti," kongsi menerusi kenyataan di Facebook.
Perkongsian itu merujuk kepada berita tular penceraian pasangan selebriti yang menimbulkan pelbagai reaksi negatif kepada masyarakat apabila aib pasangan tersebut diuar-uarkan secara terbuka.
Ujar kenyataan itu, Islam merupakan agama yang mempertahankan maruah individu dengan menetapkan larangan membuka aib diri, pasangan suami isteri serta insan di sekelilingnya.
"Syarak tidak membenarkan untuk menyebarkan aib dan perihal buruk seseorang pada khalayak ramai meskipun perbuatan buruk benar-benar dilakukannya.
"Oleh itu, segala hal peribadi pasangan tidak perlu didedahkan sehingga diketahui oleh pihak luar yang tidak berkepentingan sama ada ketika dalam tempoh perkahwinan mahupun selepas perceraian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!