Malaysia tidak tutup mata krisis Ukraine, tolak keganasan - PM

Anwar semasa menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-19 di Laos. Foto FB Anwar Ibrahim
Anwar semasa menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-19 di Laos. Foto FB Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia sama sekali tidak menutup mata terhadap krisis di Ukraine dan dengan tegas menolak sebarang tindakan keganasan serta pelanggaran integriti wilayah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau berkata, semua pihak perlu berusaha mencari penyelesaian melalui dialog dan diplomasi selaras dengan undang-undang antarabangsa serta Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Anwar, yang menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-19 di Laos, berkata beliau menggunakan platform itu untuk menegaskan komitmen Malaysia dan rakan negara ASEAN terhadap rantau yang aman, stabil serta bebas daripada konflik khususnya tercetus akibat pergeseran kuasa besar.

"Tatkala ASEAN mengetuai usaha untuk menyelesaikan krisis di Myanmar, saya menggesa masyarakat antarabangsa untuk tidak sekadar beretorik sebaliknya menyusuli dengan tindakan proaktif bagi menyokong peranan ASEAN dan memberikan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan rakyat Myanmar.

"Saya juga mendesak semua pihak menggunakan instrumen dialog dan tindakan yang selaras dengan perundangan antarabangsa seperti UNCLOS 1982 (Konvensyen PBB mengenai Undang-Undang Laut) untuk menyelesaikan pertikaian,” katanya.

Perdana Menteri turut mengulangi desakan supaya masyarakat antarabangsa bersuara menuntut Israel agar menghentikan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dan hak asasi yang berterusan di Gaza.

Menyentuh mengenai Kepengerusian ASEAN 2025, beliau menyeru anggota EAS untuk menjulang kebersamaan dan melaksanakan Pelan Tindakan EAS 2024 hingga 2028.

Sidang kemuncak itu adalah sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan yang bermula pada 9 Oktober dan berakhir hari ini.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis penutup, Laos selaku Pengerusi ASEAN ketika ini secara simbolik akan menyerahkan jawatan itu kepada Malaysia yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2025. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!