KPKM perkenal pengiraan baharu SSR, PCC beras negara
SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperkenalkan asas pengiraan baharu Kadar Sara Diri (SSR) dan Penggunaan Per Kapita (PPC) dengan piawaian ditetapkan Persidangan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) mulai tahun ini.
KPKM dalam satu kenyataan berkata, menerusi kaedah baharu itu, pihaknya telah melaraskan asas pengiraan pengeluaran padi pada tahun 2023 dengan mengambil kira jumlah padi bersih yang akan diproses kepada beras sahaja.
Menurutnya, pengiraan itu tidak termasuk jumlah pengeluaran padi yang dikhususkan untuk tujuan benih pada tahun yang sama.
“Kaedah ini turut mengekalkan kadar faktor penukaran padi kepada beras yang digunakan pada masa ini mengikut zon iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, masing-masing pada kadar 70 peratus, 63 peratus dan 60 peratus.
“KPKM turut memuktamadkan jumlah stok kecemasan beras bagi tahun 2023 dengan jumlah 240,233 tan metrik bagi stok dagangan dan 40,000 tan metrik bagi stokpail,” kata kenyataan itu pada Jumaat.
KPKM memaklumkan, melalui pelarasan semula pengiraan SSR dan PCC beras pada tahun 2023 adalah pada kadar 56.2 peratus dan 76.7 kilogram (kg) setiap tahun.
Jelas kementerian itu lagi, data tersebut menunjukkan penurunan pengeluaran padi sebanyak 4.7 peratus iaitu 2,281,736 tan metrik pada tahun 2022 kepada 2,175,097 tan metrik pada tahun 2023.
“Keadaan ini turut menyebabkan pengeluaran beras turun kepada 1,503,151 tan metrik atau 4.6 peratus pada tahun 2023 berbanding 1,574,956 tan metrik pada tahun 2022.
“Pengurangan ini disebabkan oleh pelbagai faktor dalaman dan luaran yang mempengaruhi produktiviti padi dan beras negara,” ujarnya.
Sehubungan itu, KPKM memaklumkan bahawa pihaknya akan terus komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kadar SSR beras antaranya melalui kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk dengan kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!