SC rekod 3,380 aduan penipuan, aktiviti tidak berlesen setakat suku ketiga 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menerima 3,380 aduan serta pertanyaan mengenai penipuan dan aktiviti tidak berlesen setakat suku ketiga 2024, melonjak 28 peratus berbanding tahun lepas.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Kaunsel, Yew Yee Tee melalui satu kenyataan memberitahu kes-kes pada hari ini sudah bertambah sofistikated dan ia turut melibatkan penggunaan teknologi 'deepfake' serta modus operandi yang semakin berkembang.

"Sisi positifnya ialah kita turut melihat kesedaran dan keraguan yang lebih tinggi di kalangan orang ramai, yang mana majoriti pengadu dan pertanyaan yang tampil ke SC bukan merupakan mangsa kepada penipuan ini (berbanding tahun-tahun sebelumnya),” katanya semasa pelancaran InvestSmart Fest 2024 di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, beliau berkata, penipuan dan aktiviti tidak berlesen terus menjadi kebimbangan yang semakin meningkat.

"Pada 2023, SC menerima 3,262 aduan serta pertanyaan awam mengenai pelbagai penipuan dan aktiviti tidak berlesen, menokok 321 peratus daripada 2019,” katanya.

Mengenai pempengaruh kewangan yang semakin bertambah di media sosial, Yee Tee berkata, SC telah mengemas kini nota panduannya mengenai nasihat pelaburan.

Beliau berkata, ramai yang telah beralih kepada media sosial serta platform digital lain bagi mendapatkan maklumat termasuk nasihat tetapi pempengaruh kewangan ini tidak dilengkapi dengan pengetahuan pelaburan, yang mana, dalam beberapa kes, aktiviti mereka mungkin memerlukan lesen daripada SC tetapi mereka sebenarnya tidak berlesen.

Beliau turut mengetengahkan beberapa kes di Amerika Syarikat (AS) apabila pengawal selia mengambil tindakan terhadap personaliti terkenal yang menjadi pempengaruh yang mempromosikan aset kripto.

Artikel Berkaitan:

Yee Tee juga mengingatkan agar tidak menyewakan akaun bank kepada penipu untuk menerima dan memindahkan dana yang diperoleh secara haram.

"Kebanyakan penipuan berkongsi unsur yang sama iaitu penggunaan akaun bank keldai. Keldai kini boleh didenda RM10,000 dan penjara sekurang-kurangnya setahun jika didapati bersalah,” kata Yee Tee.

Mereka tidak akan dibenarkan untuk mengekalkan atau membuka akaun bank, ini akan menyukarkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan atau menjalankan perniagaan, katanya.

InvestSmart 2024 diadakan dengan kerjasama Bursa Malaysia dan dijangka menarik lebih 11,000 pelawat. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!