Beg tangan mewah tak dapat, RM5,195 lesap

Antara mesej perbualan pembeli persendirian yang menawarkan perkhidmatan membeli beg mewah berjenama Celine, sebelum scammer tersebut menyekat nombor telefon dan akaun IG milik mangsa.
Antara mesej perbualan pembeli persendirian yang menawarkan perkhidmatan membeli beg mewah berjenama Celine, sebelum scammer tersebut menyekat nombor telefon dan akaun IG milik mangsa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita berputih mata apabila hasrat membeli beg tangan mewah berjenama Celine menerusi khidmat pembeli persendirian menyebabkannya mengalami kerugian RM5,195.

Dia yang enggan namanya dikenali berkata, tawaran khidmat pembeli persendirian itu dilakukan menerusi laman media sosial Instagram (IG).

Menurutnya, dia tertarik dengan tawaran separuh harga yang diberikan oleh pembeli persendirian untuk beg diinginkan itu.

"Saya semakin yakin pembeli persendirian ini benar-benar wujud kerana banyak 'posting' yang diletakkan di IG miliknya menunjukkan bukti pembelian daripada orang ramai.

"Malah dia juga memaparkan testimoni daripada pelanggan lain yang berpuas hati dengan khidmat diberikan termasuk menyatakan penghantaran cepat, barang selamat sampai dan pelbagai komen baik lain.

"Semua itu membuatkan saya benar-benar percaya dia adalah pembeli persendirian yang betul," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya, semua yang dipaparkan oleh pembeli persendirian di IG begitu meyakinkan.

Selain itu tambahnya, pemilik akaun IG myprelovedafifah itu mempunyai banyak pengikut iaitu sebanyak '50.2K'.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, pembeli persendirian itu juga bijak dalam memberi keyakinan menerusi mesej perbualan menerusi aplikasi WhatsApp.

"Dia juga siap memaklumkan mengenai Smart Reader Activation (SRA) yang kononnya hendak elak daripada dikenakan denda oleh pihak Kastam.

"Selain itu, pelbagai alasan diberikan apabila saya bertanyakan tentang nama lelaki pada akaun yang diminta dimasukkan duit.

"Ia termasuklah dengan menjelaskan ia adalah akaun milik keraninya," ujarnya lagi.

Menurutnya, dia telah membuat tiga kali transaksi pemindahan wang ke dalam akaun yang diberikan.

Katanya, dia hanya menyedari ditipu apabila wang deposit SRA yang diberikan akan dikembalikan dalam tempoh lima hingga 10 minit selepas duit dimasukkan.

"Banyak kali saya bertanyakan tentang duit deposit itu selepas masa dijanjikan telah tamat.

"Bukan sahaja duit saya tidak dikembalikan, malah nombor telefon dan akaun IG saya telah disekat oleh pembeli persendirian itu," ujarnya.

Jelasnya, laporan polis telah dilakukan dan dia juga telah menghubungi Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) bagi membuat aduan.

Ini kerana katanya, akaun di IG myprelovedafifah terbabit didapati masih aktif berdasarkan tinjauan oleh kenalan yang cuba 'mengintip' kegiatan dipercayai scam oleh pembeli persendirian tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!