Sabah waspada muslihat Pilihan Tawau

Gary Steven Robbat giat menjalani latihan menjelang perlawanan persahabatan menentang Pilihan Tawau. Foto Sabah FC
Gary Steven Robbat giat menjalani latihan menjelang perlawanan persahabatan menentang Pilihan Tawau. Foto Sabah FC
A
A
A

GERGASI Liga Super, Sabah FC tidak seharusnya memandang rendah keupayaan pasukan Pilihan Tawau menjelang perlawanan persahabatan di Kompleks Sukan Tawau, pada Sabtu.

Pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee berkata, ini kerana Sabah ingin meletakkan sasaran untuk memenangi perlawanan ini sekali gus memastikan pemain utama mendapatkan minit permainan.

Katanya, Sabah berehat agak panjang selepas terlepas peluang untuk melonjak ke tangga ketiga Liga Super apabila tewas tipis 0-1 di tangan PDRM FC pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), baru-baru ini.

“Sudah tentu perlawanan malam esok sangat menarik kerana ia bakal menjadi persiapan Sabah sebelum beraksi menentang Perak FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung Perak, pada 18 Oktober.

“Saya ingatkan semua pemain, kita harus berada dalam tahap yang tinggi di mana Sabah ingin mencapai sasaran ditetapkan pengurusan,” katanya.

Saddil Ramdani antara pemain yang dijangka dipertaruhkan Kim Swee berdepan Pilihan Tawau. Foto Sabah FC
Saddil Ramdani antara pemain yang dijangka dipertaruhkan Kim Swee berdepan Pilihan Tawau. Foto Sabah FC

Kim Swee berkata, walaupun berdepan Pilihan Tawau merupakan hanya satu perlawanan persahabatan namun semua pemain diingatkan tidak mengambil sikap sambil lewa berikutan ia penting untuk mendapatkan match fitness kepada semua pemain.

Artikel Berkaitan:

“Kita ingatkan pemain harus bersiap sedia dengan apa jua keadaan. Apa yang paling penting pemain-pemain kita tidak mendapat sebarang kecederaan malam esok untuk memastikan pemain berada dalam tahap yang cukup baik.

“Tetapi apa yang jauh lebih penting bagi saya adalah ingin melihat daripada segi corak permainan di samping memperbaiki kelemahan sekali gus membentuk keserasian sebelum bermain dengan pasukan Perak,” ujar Kim Swee.

Mengenai penyertaan semula Mohd Syukri Baharun ke Sabah, Kim Swee berkata, Syukri harus berusaha lebih keras berikutan Sabah kini mempunyai ramai pemain di bahagian tengah.

“Sudah tentu ini akan memberi satu saingan yang cukup baik di dalam pasukan. Sesiapa sekali pun masuk pada musim perpindahan, mereka harus membuktikan keupayaannya.

“Syukri juga perlu menerapkan budaya bekerjasama bukan sahaja di dalam padang tetapi di luar padang bagi memastikan kita dapat keserasian yang lebih baik selepas ini nanti,”katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!