Israel perhebat 'kempen membunuh'

Kesan kemusnahan di kawasan kejiranan Rouweiss di pinggir selatan Beirut yang dibedil pada Khamis.
Kesan kemusnahan di kawasan kejiranan Rouweiss di pinggir selatan Beirut yang dibedil pada Khamis.
A
A
A

BEIRUT - Kempen pengeboman terbaharu rejim Zionis di tengah Beirut telah meragut 22 nyawa manakala kira-kira 117 cedera pada Khamis.

Pasukan keselamatan memaklumkan Ketua Unit Perhubungan dan Penyelarasan Hizbullah, Wafiq Safa yang menjadi sasaran utama serangan tersebut bagaimanapun terselamat.

Cubaan membunuh Safa yang memegang peranan dalam hal ehwal keselamatan dan politik oleh musuh gagal setelah operasi ketenteraan sebelum ini menyasarkan komander dan pemimpin kanan gerakan itu yang disokong Iran.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sekali lagi membedil kawasan kejiranan orang awam dan deretan kedai di ibu kota yang kini menjadi medan tempur ketika pejuang Hizbullah berusaha mengekang kemaraan unit infantri di selatan.

Kawasan kejiranan Basta di tengah Beirut turut dihujani bom Zionis. Foto AFP
Kawasan kejiranan Basta di tengah Beirut turut dihujani bom Zionis. Foto AFP

Zionis juga tidak mengeluarkan sebarang amaran supaya berpindah memandangkan kawasan itu tidak pernah dibedil sebelum ini.

Antara yang terkorban adalah lapan sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak yang berpindah ke kawasan itu dari selatan.

Artikel Berkaitan:

Reuters melaporkan salah satu bedilan itu turut mengenai stesen minyak dan menyebabkan kebakaran besar dengan kepulan asap tebal.

Serangan itu dilancarkan selepas dua anggota misi pengaman warga Indonesia di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) cedera setelah kereta kebal milik IDF membedil menara peninjau di ibu pejabat utama di Ras al-Naqoura, selatan Beirut.

Rejim Zionis semakin memperhebatkan serangan udara mereka sejak beberapa minggu lalu menyasarkan pinggir selatan ibu kota Lubnan, kawasan sempadan di selatan dan Lembah Bekaa untuk menyasarkan pemimpin kanan Hizbullah.

Sementara itu, Ketua Kesatuan Eropah (EU), Charles Michel menyifatkan serangan ke atas misi pengaman PBB sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima selepas Itali dan Sepanyol mengutuk kejadian itu.

IDF memberi alasan kononnya operasi itu menyasarkan pejuang Hizbullah berhampiran ibu pejabat UNIFIL dan telah mengarahkan anggota pasukan berkenaan supaya berlindung di tempat selamat.

Gambar satelit menunjukkan ibu pejabat UNIFIL di kawasan pesisir pantai Naqoura di selatan Lubnan yang bersempadan Israel.
Gambar satelit menunjukkan ibu pejabat UNIFIL di kawasan pesisir pantai Naqoura di selatan Lubnan yang bersempadan Israel.

Sejak 23 September lalu, Zionis telah melancarkan kempen pengeboman ganas ke atas Lubnan setelah konflik rentas sempadan itu merebak menjadi perang lebih besar dan meragut lebih 1,200 nyawa serta menyebabkan lebih sejuta orang menjadi pelarian.

Keselamatan 10,400 anggota UNIFIL semakin terancam

Sementara itu di NEW YORK, keselamatan lebih 10,400 anggota misi pengaman di Lubnan termasuk pasukan dari Malaysia semakin terancam dek perang baharu yang tercetus antara Hizbullah dan Israel.

Ketua pasukan UNIFIL, Jean-Pierre Lacroix memberitahu Majlis Keselamatan PBB bahawa operasi pasukan itu terjejas sejak akhir September ketika ketegangan semakin meningkat di Lubnan.

UNIFIL menyifatkan serangan ke atas anggota misi pengaman sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.

Rumah Putih yang masih gagal mengawal tindakan keganasan sekutunya, Israel turut menzahirkan kebimbangan terhadap insiden tersebut.

Serangan udara itu menyebabkan kebakaran besar di tengah Beirut. Foto AFP
Serangan udara itu menyebabkan kebakaran besar di tengah Beirut. Foto AFP

Tentera Israel memberi alasan zon operasi mereka kononnya berhampiran dengan pangkalan UNIFIL yang terletak bersempadan Tel Aviv.

“Anggota UNIFIL enggan berganjak daripada kedudukan mereka meskipun diarahkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) supaya meninggalkan kawasan itu,” kata jurucakap pasukan misi pengaman itu, Andrea Tenenti.

Sementara itu, Duta Israel ke PBB, Danny Danon cuba memberi idea kurang bernas apabila menyarankan UNIFIL dipindahkan sejauh lima kilometer ke utara dari kedudukan asal sebagai langkah berjaga-jaga berikutan pertempuran yang semakin sengit. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!