Pembangunan ekonomi satu larian maraton

Malaysia perlu memperbaiki prospek ekonomi melalui keanggotaan dalam ASEAN.
Malaysia perlu memperbaiki prospek ekonomi melalui keanggotaan dalam ASEAN.
A
A
A

PADA hari Ahad yang lepas, saya berjaya menghabiskan larian separuh maraton pertama saya sejak 2020. Pace atau rentak kelajuan boleh dikira memuaskan sepanjang larian 21.1 kilometer tersebut bersama beberapa rakan baik saya.

Jika difikirkan, usaha untuk menambah baik ekonomi negara ini tidak jauh bezanya dengan larian maraton. Sama seperti larian maraton, sementara kita berada di hadapan, kita tidak boleh kehilangan momentum-rentak itu amat penting.

Baru-baru ini, Bank Dunia telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk 2024 daripada 4.3% kepada 4.9%, dengan jangkaan bahawa Malaysia boleh mencapai status negara berpendapatan tinggi seawal tahun 2027.

Ini selari dengan anggaran Bank Negara yang menjangka pertumbuhan sebanyak empat hingga lima peratus tahun ini. Beberapa faktor menyumbang kepada hal ini: iklim politik yang stabil, komunikasi jelas mengenai dasar ekonomi, dan tawaran nilai unik Malaysia kepada pelabur.

Titik tumpuan hasil ini adalah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang memberikan hala tuju jelas kepada usaha untuk menarik pelaburan – terutamanya dalam sektor pembuatan. Hampir setahun sejak pelancarannya, NIMP telah mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan dan jelas.

Prestasi pelaburan cemerlang Malaysia mencerminkan hasil NIMP, dengan RM160 bilion pelaburan yang diluluskan pada enam bulan pertama tahun ini, peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dianggarkan 79,187 pekerjaan baru akan diwujudkan daripada 2,948 projek yang diluluskan, peningkatan sebanyak 49.3 peratus dan 11 peratus masing-masing, tahun ke tahun.

Apa yang lebih penting, sektor yang diutamakan dalam Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) telah menarik masuk pelaburan berkualiti tinggi bernilai RM81.6 bilion, atau 51 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan daripada 562 projek yang bakal menjana 35,780 peluang pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Terdapat juga lonjakan dalam pelaburan sektor teknologi tahun ini. Gergasi-gergasi teknologi dunia seperti Google, Microsoft, AWS, dan Oracle telah memilih Malaysia sebagai tapak membina infrastruktur teknologi untuk rantau Asia Tenggara dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$16.9 bilion.

Ramai berpendapat bahawa pelaburan syarikat teknologi seperti ini hanya membawa limpahan ekonomi yang terhad, tetapi hasil sebenar adalah melalui penciptaan ekosistem teknologi yang pelbagai.

Industri sedia ada (seperti E&E dan pembuatan cip) dan yang baru [seperti keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI)], akan berkembang subur bersama.

Peranan strategik Malaysia dalam perdagangan teknologi global juga sedang berkembang, mengambil kira keperluan syarikat untuk mencari rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

Dari segi pengeluaran, peralihan daripada model just-in-time kepada pendekatan just-in-case yang bersedia untuk menangani lonjakan mendadak dan gangguan luaran.

Hal ini telah menjadikan Malaysia rakan kongsi pilihan bagi syarikat multinasional yang memerlukan tapak pembuatan berdaya maju dan boleh dipercayai di Asia Tenggara.

Sementara itu, Strategi Pelaburan Hijau (GIS) dan NIMP yang jelas dan sistematik telah melonjakkan pelaburan hijau dan secara langsung mengukuhkan peranan kita dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV) Asia Tenggara yang diterajui oleh usahasama pengeluar kenderaan global dan pencipta tempatan.

Komitmen kerajaan terhadap tenaga bersih dan teknologi hijau turut menarik pelabur yang ingin memanfaatkan kepakaran Malaysia dalam pengilangan bateri, infrastruktur EV dan teknologi hidrogen.

Perdagangan maju ke hadapan

Dalam lapan bulan pertama tahun ini, perdagangan Malaysia mengekalkan peningkatan perdagangan dengan mencatatkan perkembangan yang kukuh.

Jumlah perdagangan meningkat sebanyak 10.9 peratus tahun ke tahun, dan mencecah RM1.9 trilion -- nilai perdagangan berkala tertinggi yang pernah direkodkan.

Tahun ini, permintaan untuk semikonduktor dan elektronik maju bertambah dengan pesat apabila transformasi digital dan inisiatif yang didorong oleh AI di seluruh dunia dipercepatkan.

Pemesatan teknologi 5G, perisian Internet Pelbagai Benda (Internet of Things) dan pengkomputeran awan telah mengembangkan permintaan untuk komponen elektronik berkualiti tinggi. Ini memberikan Malaysia kelebihan sebagai pengeksport utama bagi teknologi kritikal ini.

Kita juga telah mengukuhkan integrasi ke dalam rantaian bekalan global dengan pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam sektor seperti pengkomputeran kuantum dan AI yang membolehkan industri di Malaysia menyesuaikan diri dengan kepesatan perubahan teknologi.

MITI juga telah memberi tumpuan dalam mempelbagaikan rakan-rakan perdagangan. Pengembangan ke pasaran baru, terutamanya di Afrika, timur tengah dan Amerika Latin, dapat membuka peluang pertumbuhan baru.

Kami juga akan terus memanfaatkan 16 perjanjian perdagangan bebas (FTA) seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif Dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta meneroka perjanjian perdagangan dua hala untuk mengembangkan akses pasaran bagi barangan dan perkhidmatan Malaysia.

Dalam ASEAN, usaha akan digandakan untuk memuktamadkan rundingan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) pada 2025 bagi memaksimumkan kelebihan integrasi serantau.

NIMP juga telah memberi tumpuan kepada keterangkuman ekonomi untuk meningkatkan penyertaan dalam perdagangan dan industri seperti melalui pembangunan kluster industri merentas negeri.

Dengan mengelompokkan kekuatan semula jadi yang sedia mantap melalui rangkaian perindustrian sedia ada, Malaysia bakal memupuk pembangunan industrian yang lebih sekata, pelbagai dan inklusif di lebih banyak negeri.

Strategi pertumbuhan industri negara juga turut dipacu oleh kerjasama antara industri dan akademia yang lebih menyeluruh bagi memastikan tenaga kerja kita bersedia untuk memenuhi tuntutan dan keperluan masa hadapan.

Pendekatan ini melibatkan penyelarasan kurikulum berdasarkan permintaan industri -- mempromosikan usahasama, memperkasa program perantisan dan mempelopori inisiatif pembelajaran sepanjang hayat.

Sebagai contoh, usaha seperti Pembangunan Kurikulum Bersama antara pemimpin industri dan pendidik, dengan kerjasama MITI, Badan Koordinasi TVET Kerajaan–Industri (GTIC), dan Kementerian Pendidikan Tinggi, telah membina asas yang kukuh untuk memenuhi keperluan tenaga kerja mahir.

Selain itu, agensi-agensi di bawah MITI seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST), dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) amat proaktif dalam memupuk kerjasama industri–akademia untuk membangunkan bakat yang khas buat industri tertentu, justeru mengukuhkan daya saing Malaysia di pasaran global.

Matlamat MITI bukan sahaja untuk menjana pekerjaan, malah meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja kita. Ini membolehkan tenaga kerja kita memiliki gaji yang lebih tinggi untuk menambah kualiti hidup rakyat Malaysia.

Memanfaatkan ASEAN

Melihat ke hadapan, antara perkara yang boleh memperbaiki prospek ekonomi negara ialah keanggotaan kita dalam ASEAN. Sebagai sebuah blok ekonomi, ASEAN telah menunjukkan daya tahan dalam mengharungi kemaslahatan geopolitik dan ekonomi global masa kini yang tidak menentu.

Selagi kita berpegang teguh pada prinsip Cara ASEAN atau The ASEAN Way, meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN, serta mempersiapkan industri kita bagi menghadapi cabaran masa depan, saya yakin dan percaya bahawa kita akan terus maju.

Selaku Pengerusi ASEAN tahun hadapan, Malaysia seharusnya mengambil peluang ini untuk memperkukuhkan kedudukan kita sebagai hab utama untuk pembuatan dan perkhidmatan serantau.

Dengan memperkasakan dasar yang mampu menyelaraskan proses perdagangan, mengurangkan tarif, dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, kita dapat menarik lebih banyak pelaburan asing dalam pembuatan maju, terutamanya pada sektor kritikal seperti E&E dan automotif.

Tambahan lagi, inisiatif seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) akan mendorong peranan Malaysia sebagai hab serantau untuk perkhidmatan digital, teknologi kewangan (fintech) dan e-dagang–terutamanya untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), sekali gus meningkatkan kemampuan mereka untuk berdaya saing di pasaran antarabangsa.

Dengan langkah-langkah strategik ini, negara kita boleh mengukuhkan kedudukannya sebagai pintu masuk ke ASEAN bagi memacu perkembangan dan pelaburan jangka panjang di seluruh rantau.

Merujuk kembali kepada analogi maraton saya: perlumbaan di hadapan kita masih cukup mencabar. Namun, NIMP dan dasar-dasar kerajaan yang lain mampu memberi sinar yang menerangi laluan dan membina daya tahan yang diperlukan untuk membawa kita ke garisan penamat, terus unggul di hadapan!

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!