Pesakit mental masih boleh dibenarkan memandu - MMHA

Seseorang yang didiagnosis mempunyai masalah kesihatan mental masih boleh memandu dalam keadaan waras dan emosi yang stabil. Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Andrew)
Seseorang yang didiagnosis mempunyai masalah kesihatan mental masih boleh memandu dalam keadaan waras dan emosi yang stabil. Gambar hiasan (Gambar kecil: Dr Andrew)
A
A
A

SHAH ALAM - Seseorang yang didiagnosis mempunyai masalah kesihatan mental masih boleh memandu dalam keadaan waras dan emosi yang stabil.

Namun Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Profesor Datuk Dr Andrew Mohanraj menjelaskan, pesakit itu perlu dipastikan mematuhi arahan pengambilan ubat-ubatan secara teratur dan rawatan susulan sebelum melakukan pemanduan.

“Jika pesakit menepati kriteria tersebut, tidak menjadi masalah untuk mereka dibenarkan memandu kenderaan.

“Bagaimanapun, syarat untuk mendapat lesen memandu sudah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Andrew yang juga pakar perunding psikiatri berpandangan, pesakit mental perlu mendapatkan pengesahan doktor sebelum melakukan proses permohonan lesen memandu seperti orang kurang upaya (OKU) lain.

Ini kerana katanya, terdapat pelbagai kategori penyakit mental dengan simptom atau gejala yang tidak menghalang mereka untuk memandu.

“Apabila gejala tidak terkawal seperti mengalami keresahan, berniat bunuh diri atau berhalusinasi dan delusi, mereka harus dihindari daripada memandu.

“Oleh itu, wajar pihak JPJ tentukan tempoh lesen bagi kategori OKU mental dengan menetapkan (syarat) pemeriksaan dan laporan doktor lebih kerap sama ada layak diperbaharui (lesen) atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

“Tidak berikan lesen kepada seorang OKU mental semata-mata kerana didiagnosis adalah tindakan tidak sepatutnya,” ujarnya.

Dr Andrew berpandangan, pesakit mental perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika menyebabkan kemalangan hingga mengakibatkan kematian.

Malah beliau menegaskan, tiada pengecualian undang-undang sekiranya pesakit sengaja mengabaikan pengambilan ubat-ubatan atau tidak mematuhi jadual rawatan susulan.

“Terserah kepada mahkamah untuk tindakan lanjut (sama ada) dihukum atau diarahkan menjalani rawatan, mengambil kira laporan pemeriksaan tentang kesiuman pesakit pada waktu kemalangan berlaku dan bukan (berpandukan) diagnosis semata-mata,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!