Wanita meroyan boleh bertindak ganas

Wanita yang mengalami postpartum psychosis atau masalah meroyan boleh bertindak ganas seperti pesakit mental lain jika tidak diberikan rawatan segera. Gambar hiasan (Gambar kecil: Fauziah)
Wanita yang mengalami postpartum psychosis atau masalah meroyan boleh bertindak ganas seperti pesakit mental lain jika tidak diberikan rawatan segera. Gambar hiasan (Gambar kecil: Fauziah)
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita yang mengalami postpartum psychosis atau masalah meroyan boleh bertindak ganas seperti pesakit mental lain jika tidak diberikan rawatan segera.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, keluarga terutamanya suami tidak boleh memandang remeh sekiranya mendapati isteri mempunyai ciri-ciri gangguan psikologi selepas melahirkan anak.

Menurutnya, gejala utama meroyan terbahagi kepada tiga tahap iaitu halusinasi dan delusi, kebingungan dan paranoia manakala peringkat paling teruk ialah perbuatan ganas dengan mencederakan diri, bayi atau orang sekeliling.

“Keadaan ini sangat berbahaya jika tidak dirawat segera kerana boleh membawa kepada kematian atau kemudaratan fizikal.

“Sebagai contoh, ada kes di mana seorang wanita dipercayai mengalami meroyan selepas kehilangan anak, menunjukkan bahawa kesan psikosis postpartum ini boleh berlangsung lama jika tidak ditangani,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sejauh mana golongan yang mengalami meroyan boleh bertindak keterlaluan sekiranya tidak mendapat rawatan sewajarnya.

Ditanya mengenai langkah yang perlu diambil sekiranya terdapat ahli keluarga mempunyai tanda-tanda meroyan, beliau berkata, sokongan merupakan aspek terpenting perlu diberi perhatian.

Fauziah turut mencadangkan empat perkara yang perlu diambil sekiranya terdapat ciri-ciri penyakit itu antaranya pantau gejala awal, dapatkan rawatan perubatan, sokongan emosi dan fizikal serta mendapat didikan mengenai risiko meroyan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam kes yang melibatkan risiko keganasan, keluarga harus mengambil tindakan segera termasuk menghubungi pihak berkuasa atau hospital bagi memastikan keselamatan wanita tersebut dan orang sekeliling,” tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!