PBS beri jaminan tidak mungkin berlaku kerjasama dengan Warisan

Ruslan
Ruslan
A
A
A

BEAUFORT - Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Ruslan Muharam memberi jaminan tidak mungkin akan berlaku kerjasama antara parti itu dengan Parti Warisan (Warisan).

Beliau menyifatkan kenyataan berkaitan PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Warisan hanya propaganda yang sengaja dilontarkan untuk memecahbelahkan perpaduan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Kalau kita lihat pada hari ini dalam GRS itu sangat kukuh dan rakyat pula yakin dengan kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Jadi mereka akan cuba membuat satu provokasi supaya rakyat hilang kepercayaan kepada PBS dan STAR, jadi maknanya kalau ini berlaku sudah tentu kekuatan GRS itu agak berkurangan.

"Sebenarnya perkara ini tidak akan berlaku, saya memberi jaminan kerana saya selaku Naib Presiden dan baru-baru ini juga pemangku Presiden Datuk Joachim Gunsalam telah menyatakan bahawa itu tidak benar," katanya selepas menghadiri majlis pelancaran Tabung Amanah Lumadan Sejahtera di sini pada petang Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan menjelaskan, walaupun ada dalam kalangan ahli atau pemimpin mungkin mengharapkan kerjasama itu berlaku namun ia hanya pandangan peribadi mereka.

"Pendirian parti tidak, sebab kita lebih menjaga kepentingan rakyat daripada kepentingan peribadi kerana rakyat sudah bosan dengan politik, rakyat di luar sana mahukan kesejahteraan, keselesaan dan kestabilan politik serta ekonomi.

"Jadi walaupun ia hanya satu lontaran tapi dalam politik biasalah, kita yakin tidak akan berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, tular satu hantaran ringkas di dalam Facebook milik Ketua Bahagian PBS Petagas, Azmi Ahmad yang menggambarkan harapan supaya PBS, STAR dan Warisan membentuk satu kerjasama dalam politik.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, PBS secara jelas menolak 'lamaran' untuk bekerjasama dengan Warisan selepas Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal beberapa kali memberi bayangan berminat untuk bekerjasama dengan parti tempatan terutama PBS.

Sementara itu, PBS dan STAR ketika ini merupakan rakan gabungan dalam GRS dan kedua-dua parti itu turut menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama politik antara kedua-dua parti menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!