Polis tahan dua lelaki gaduh dalam bas ekspres

Tangkap layar kejadian pergaduhan berkenaan.
Tangkap layar kejadian pergaduhan berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua lelaki ditahan disyaki terlibat dalam pergaduhan dalam sebuah bas ekspres di Terminal Larkin Sentral di sini, Khamis lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, kedua-dua suspek berusia 36 dan 40 tahun itu ditahan sekitar jam 7 hingga 11.30 malam di dua lokasi berasingan di Alor Gajah, Melaka dan dataran Larkin.

Raub berkata, sekitar jam 9.30 pagi Jumaat, polis menerima satu video tular di media sosial yang memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan beberapa individu dalam sebuah bas ekspres di sebuah stesen bas.

“Polis mengesahkan kejadian tersebut dan telah menerima laporan mengenai kejadian pergaduhan di lokasi tersebut daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun yang juga pemandu bas berkenaan.

“Siasatan awal polis mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan mangsa telah bercakap kurang ajar dengan kedua-dua suspek yang merupakan sepupu kepada mangsa hingga menyebabkan kedua-dua suspek tidak berpuas hati dan memukul mangsa di lokasi.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau kes jenayah sementara suspek kedua mempunyai satu rekod lampau kes jenayah dan hasil ujian saringan air kencing kedua-duanya didapati negatif,” katanya.

Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Sabtu bagi tujuan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh terus menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!