Sukma 2028 Kelantan: Tiada lagi 'projek sakit' fasiliti sukan

Adam Adli (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada peserta Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan.
Adam Adli (tiga dari kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada peserta Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan tiada lagi 'projek sakit' membabitkan fasiliti sukan untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2028 Kelantan.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata, semua pembinaan fasiliti itu terutama di Pasir Puteh dan Kota Bharu kini berjalan lancar.

Bagaimanapun, menurut beliau, jika ada berlaku kelewatan mungkin kerana faktor cuaca namun perkara itu dapat diatasi melalui lawatan dan pemantauan dari masa ke masa.

"Kita akan pastikan semua kemudahan di bawah komitmen KBS akan disiapkan sebelum 2028 terutama Stadium Kompleks Sukan Bukit Merbau di Pasir Puteh yang kini siap 25 peratus dan menelan belanja RM180 juta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan Hari Sukan Negara 2024 Peringkat Negeri Kelantan pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Belia, Sukan, badan bukan kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhsari Muhammad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim.

Adam Adli memberitahu, setakat ini perkembangan pembinaan berbeza mengikut keluasan dan lokasi selain bergantung pada fasiliti yang mungkin mempunyai trek atau sebaliknya.

"Semua itu memerlukan masa tetapi kita yakin akan siap mengikut tempoh yang ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan Menteri KBS, Hannah Yeoh memaklumkan akan memastikan pembinaan fasiliti sukan sempena penganjuran temasya Sukma 2028 di Kelantan siap mengikut jadual.

Kerajaan Kelantan juga dijangka mendapat pemilikan tapak Stadium, Kompleks Sukan Bukit Merbau pada 13 April ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!