DBKL beri tempoh 14 hari turunkan papan iklan tulisan Cina
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan selama 14 hari kepada lima pemilik premis terlibat untuk menurunkan papan iklan tulisan Cina sekitar Jalan Imbi di sini.
DBKL dalam satu kenyataan berkata, didapati kesemua premis itu melanggar Undang-undang Kecil Iklan (WP) 1982 dengan meminggirkan bahasa kebangsaan di papan iklan mereka.
Menurutnya, walaupun peraturan itu sudah lama diperkenalkan, namun masih terdapat premis sekitar Bukit Bintang itu tidak mengendahkan penetapan itu.
"Masih ada tidak faham atau buat-buat lupa tentang kepentingan bahasa Malaysia.
"Melalui satu video tular di media sosial, DBKL turun padang untuk ‘menyegarkan’ ingatan mereka tentang peraturan ini.
"Ya, nampaknya mereka lebih gemar mempamerkan bahasa lain. Tak apa, kita bantu ingatkan mereka dengan kompaun dan notis penguatkuasaan.
"Sekarang, mereka ada 14 hari untuk turunkan iklan tersebut atau tindakan selanjutnya akan menyusul," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Seorang pengguna TikTok sebelum ini mendedahkan banyak premis sekitar Jalan Imbi, Bukit Bintang dimeriahkan dengan papan tanda tulisan Cina seolah tidak menghormati bahasa kebangsaan.
Selain itu turut dipersoalkan berkaitan pemantauan DBKL berkenaan isu itu.
Menerusi kenyataan sama, DBKL menegaskan pihaknya akan terus memantau dan memastikan premis lain tak ‘terlupa’ pada masa akan datang.
DBKL turut meminta kerjasama orang awam melapor dan menyalurkan maklumat di https://adukl.dbkl.gov.my/ jika mengesan pelanggaran papan iklan di ibu kota.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!