Treler terbalik, tumpahan minyak berjaya dielak masuk Sungai Pisang

Tumpahan minyak memasuki longkang berhampiran lebuh raya.
Tumpahan minyak memasuki longkang berhampiran lebuh raya.
A
A
A

GOMBAK - Tumpahan minyak daripada lori tangki terbalik di Kilometer (KM) 27.9 Lebuhraya Karak dari Genting Sempah menghala Kuala Lumpur berjaya dielak daripada memasuki Sungai Pisang.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan berkata, insiden itu berpotensi menyebabkan pencemaran di sungai berkenaan yang terletak 200 meter dari lokasi kejadian.

Menurutnya, tindakan segera pengawalan tumpahan dan pembersihan dilakukan ANIH Berhad berjaya mengelak gangguan air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Gombak.

"Pasukan LUAS telah segera melaksanakan semakan menyeluruh di lokasi insiden serta persekitaran dan mendapati terdapat tumpahan minyak daripada kenderaan terlibat masuk ke dalam longkang berhampiran dan terkumpul di sump pit lebuh raya.

"Aliran tumpahan minyak ini telah disekat daripada mengalir dengan lebih banyak ke dalam sump pit tersebut hasil daripada langkah pencegahan oleh pihak ANIH Berhad dengan membina ban di dalam longkang terlibat dan meletakkan serbuk kayu di atas jalan bagi menyekat aliran minyak," katanya menerusi kenyataan.

Ujarnya, semakan lanjut oleh LUAS mendapati tiada sebarang aliran tumpahan daripada insiden tersebut mengalir ke Sungai Pisang.

LUAS seterusnya telah mengarahkan syarikat pemilik kenderaan berkenaan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyedutan sisa tumpahan minyak di kawasan-kawasan terkesan.

Media pada Jumaat melaporkan insiden treler terbabas dan terbalik melintang jalan di lokasi kejadian kira-kira jam 5.30 petang.

Artikel Berkaitan:

Insiden menyebabkan laluan menghala Kuala Lumpur terhalang dengan trafik sesak hingga 2.6 km.

Sementara pemandu treler berusia 43 tahun mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!