Hospital Pantai Pulau Pinang pasang 11 alat AED tahun ini

Wen Lek (kanan) dan Daniel meletakkan salah satu alat AED di Fasa 1 Taman Gurney Bay pada Sabtu.
Wen Lek (kanan) dan Daniel meletakkan salah satu alat AED di Fasa 1 Taman Gurney Bay pada Sabtu.
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Dalam usaha penting ke arah meningkatkan kesihatan dan keselamatan komuniti, Hospital Pantai Pulau Pinang mengambil inisiatif dengan memasang dua unit alat defibrillator luaran automatik (AED) di Fasa 1 Taman Gurney Bay di sini.

Ia merupakan AED kelapan dipasang oleh hospital itu di kawasan awam yang kebanyakkannya di taman riadah dan kawasan kejiranan.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Pulau Pinang, Pan Wen Lek berkata, pihaknya akan memasang tiga lagi AED di kawasan awam bagi menjadikan jumlah keseluruhan alat bantuan itu dipasang tahun ini adalah 11 buah.

Menurutnya, lima AED lagi akan dipasang di kawasan pulau pada tahun hadapan.

"Kita melabur sebanyak RM165,000 untuk pemasangan 11 alat AED di beberapa kawasan di pulau antaranya Stesen Bukit Bendera 39, Stesen Bukit Bendera 84, Sekolah Kebangsaan Balik Pulau, Setia Pearl Island Fasa 1, Jambatan Harapan dan Regency Heights.

"Kita bercadang memasang lima AED lagi tahun depan. Dengan itu, jumlah keseluruhan alat AED yang dipasang di bawah Hospital Pantai Pulau Pinang adalah 16 buah dengan kos RM240,000," katanya ketika ditemui selepas pelancaran pemasangan alat AED di Fasa 1 Taman Gurney Bay pada Sabtu.

Victor (dua dari kiri) membuat demonstrasi penggunaan alat AED kepada Daniel (kiri) dan Wen Lek (dua dari kanan).
Victor (dua dari kiri) membuat demonstrasi penggunaan alat AED kepada Daniel (kiri) dan Wen Lek (dua dari kanan).

Pelancaran tersebut disempurnakan Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen sementara demonstrasi penggunaan AED dijalankan oleh Pakar Perubatan Bahagian Kecemasan Hospital Pantai Pulau Pinang, Dr Victor Lim Ban Jin.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Hospital Pantai Pulau Pinang untuk meningkatkan kadar kelangsungan hidup dalam kes serangan jantung secara tiba-tiba.

"Alat AED yang dipasang di tempat awam terpilih di negeri ini bertujuan untuk membantu mangsa serangan jantung ketika beriadah. Ia adalah alat mudah alih yang direka untuk menilai dan merawat keadaan jantung yang mengancam nyawa dengan memberikan kejutan elektrik bagi mengembalikan denyutan jantung yang normal.

"Dengan statistik yang menunjukkan bahawa serangan jantung secara tiba-tiba boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, ketersediaan AED di tempat awam meningkatkan peluang kelangsungan hidup apabila digunakan dalam beberapa minit selepas kejadian," tambahnya.

Wen Lek berkata, pemasangan alat AED bukan sahaja meningkatkan keselamatan di tempat awam malah memupuk rasa tanggungjawab dan kesiapsiagaan komuniti yang lebih besar.

"Hospital Pantai Pulau Pinang merancang untuk menyediakan sesi latihan AED dan kaedah Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR) kepada orang awam, memastikan bahawa individu berasa yakin dan bersedia untuk bertindak dengan pantas dalam situasi kecemasan.

"Program latihan ini bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan kepada komuniti untuk menyelamatkan nyawa, sekali gus mengukuhkan komitmen hospital terhadap kesihatan dan keselamatan awam," katanya.

Daniel (dua dari kiri) menyempurnakan pelancaran pemasangan alat AED oleh Hospital Pantai Pulau Pinang di Fasa 1 Taman Gurney Bay.
Daniel (dua dari kiri) menyempurnakan pelancaran pemasangan alat AED oleh Hospital Pantai Pulau Pinang di Fasa 1 Taman Gurney Bay.

Sementara itu, Daniel berkata, setakat ini, sebanyak 224 alat AED dipasang di kawasan awam di seluruh negeri ini.

"Pulau Pinang antara negeri menyediakan kemudahan alat AED yang komprehensif berbanding negeri lain.

"Ini kerana, Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan pemasangan 10 unit alat AED di tempat awam terpilih di negeri ini pada 2015 bagi membantu mangsa serangan jantung," katanya.

Tambah beliau, usaha yang dibuat Hospital Pantai Pulau Pinang itu dipuji dan wajar dicontohi oleh pihak lain.

"Usaha Hospital Pantai Pulau Pinang untuk memasang AED di Fasa 1 Taman Gurney Bay sangat dipuji. Saya memohon agar kita bersama-sama untuk terus memastikan komuniti bertindak dengan cepat dan berkesan apabila berlaku kecemasan.

"Komitmen Hospital Pantai Pulau Pinang terhadap penjagaan kesihatan melangkaui rawatan perubatan, dengan tumpuan untuk meningkatkan kesihatan awam melalui pelbagai inisiatif.

"Bekerjasama dengan kerajaan tempatan, Hospital Pantai Pulau Pinang berusaha untuk memperkasakan kesejahteraan komuniti melalui intervensi perubatan, program jangkauan komuniti dan program pendidikan kesihatan, selari dengan nilai teras IHH Healthcare," katanya.

Untuk rekod, alat AED dilancarkan pada 4 September 2015, Tingkat 3, Komtar adalah lokasi pertama dipasang iaitu pada 20 Disember 2015.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!