[VIDEO] 160 klinik KKM daif, 21 diroboh dan dibina di Sabah

A
A
A

KOTA KINABALU - Kira-kira 160 klinik di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berstruktur kayu di negeri ini dikategorikan sebagai daif di mana 56 klinik di naik taraf manakala 21 klinik dalam pembinaan baharu menerusi peruntukan di bawah program Bitara Madani.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, walaupun 21 klinik daif telah diroboh dan dibina baharu namun beliau tidak menolak masih ada klinik daif di negeri ini yang perlu diberi perhatian.

Lukanisman ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Institut Latihan KKM Zon Sabah Tahun 2024 di Auditorium IPGM Kampus Gaya, Kota Kinabalu.
Lukanisman ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Institut Latihan KKM Zon Sabah Tahun 2024 di Auditorium IPGM Kampus Gaya, Kota Kinabalu.

"Sudah pasti, kalau di Sabah kita mempunyai kira-kira 150 ke 160 klinik yang masih dalam struktur kayu dan juga daripada sebahagian 21 klinik yang diroboh dan dibina ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Zon Sabah Tahun 2024 di Auditorium Institut Perdidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Gaya di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai 21 klinik yang diroboh dan dibina baharu itu, Lukanisman berkata, tahun ini sebanyak RM21.5 juta disalurkan khusus menerusi program yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Apa yang menarik dalam siri jelajah saya kali ini klinik desa yang kita roboh memberikan ruang kerja yang besar kepada petugas dan pelanggan kami.

"Sebagai contoh di Klinik Desa Takuli, asalnya adalah klinik kayu yang berkeluasan 1,000 kaki persegi dan juga bila diroboh dan diganti kepada struktur konkrit keluasannya sekitar 2,600 kaki persegi dan memuatkan kuarters bagi petugas yang berstatus bujang.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah salah satu reka bentuk yang dikemukakan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan kami turut melaksanakan program ini di seluruh negara," katanya.

Ditanya mengenai projek terbengkalai di Sabah, beliau memaklumkan tiada sebarang projek terbengkalai namun terdapat projek sakit yang dikenal pasti.

Sementara itu, ditanya mengenai harapannya terhadap pembentangan belanjawan 2025, beliau berkata, KKM sudah pasti mengharapkan peruntukan dapat dipertingkatkan terutama untuk pembayaran emolumen dan mendapatkan bekalan ubat yang mencukupi.

"Sudah pasti peruntukan bajet ini digunakan untuk pembangunan dan juga menjangkakan peruntukan bagi naik taraf atau projek klinik daif akan meningkat dengan jumlah yang agak ketara.

"Ini adalah untuk memberi manfaat dan mengurangkan jurang fasiliti klinik di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!