Pemimpin, pentadbir pendidikan perlu kuasai AI - Saifuddin

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

JITRA - Pemimpin dan pentadbir pendidikan di negara ini perlu menguasai perkembangan teknologi baharu terutamanya kecerdasan buatan (Al) bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dengan perkembangan semasa teknologi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengetua, guru besar serta guru yang hampir dan sentiasa bersama dengan pelajar juga perlu menguasai AI bagi melahirkan pelajar yang lebih berdaya saing pada masa hadapan.

Menurutnya, pelajar pada hari ini perlu didedahkan dengan pengetahuan mengenai teknologi tersebut bagi menghadapi perkembangannya yang semakin pantas.

"Kalau tertinggal dan tidak boleh kuasai cabang ilmu baharu ini iaitu Al, kira kita sudah tertinggal jauh. Saya fikir isu ini sangat relevan.

"Pemimpin dan pentadbiran pendidikan sekarang, macam mana pun kena olah pelajar kita, paling tidak tahu istilah Al kerana itulah realiti pada hari ini," katanya pada Bicara Eksekutif Madani pada malam Jumaat.

Saifuddin pada Bicara Eksekutif Madani yang bertajuk Peranan Pemimpin Madani dalam Memartabatkan Manusiawi dan Menyejahterakan Masyarakat di Institut Aminuddin Baki (IAB) Kementerian Pendidikan Malaysia Cawangan Utara, Jitra pada malam Jumaat.
Saifuddin pada Bicara Eksekutif Madani yang bertajuk Peranan Pemimpin Madani dalam Memartabatkan Manusiawi dan Menyejahterakan Masyarakat di Institut Aminuddin Baki (IAB) Kementerian Pendidikan Malaysia Cawangan Utara, Jitra pada malam Jumaat.

Bicara tersebut yang bertajuk Peranan Pemimpin Madani dalam Memartabatkan Manusiawi dan Menyejahterakan Masyarakat diadakan di Institut Aminuddin Baki (IAB) Kementerian Pendidikan Malaysia Cawangan Utara, dekat sini.

Turut hadir, Pengarah IAB, Ab Aziz Mamat, Ketua Polis Negeri Kedah, Datuk Fisol Salleh dan Pengarah Cawangan IAB Cawangan Utara, Faudzi Saad.

Artikel Berkaitan:

Program Bicara Eksekutif Madani tersebut disertai sebanyak 300 peserta yang terdiri daripada barisan pemimpin dan pentadbiran pendidikan Zon Utara dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan.

Saifuddin Nasution berkata, lawatan beliau ke berapa negara maju sebelum ini menyaksikan teknologi AI sedang digunakan secara meluas di negara berkenaan dan Malaysia perlu melakukan perkara yang sama jika tidak mahu ketinggalan.

Jelasnya, dalam pada itu, usaha bagi menerokai sektor ekonomi baharu pula menyaksikan data juga telah menjadi sumber pendapatan baharu pada hari ini.

"Dunia hari ini sudah berubah, perdagangan bukan lagi komoditi seperti dahulu seperti bijih timah, getah, sawit, atau minyak dan gas. Data ialah 'minyak' yang baharu," katanya.

Sementara itu, Ab Aziz dalam ucapannya pula berkata, Bicara Eksekutif Madani kali ini bertepatan dengan peranan dan tanggungjawab sebagai pemimpin pendidikan dalam organisasi yang diterajui.

Menurutnya, usaha ini bermula dengan pendidikan yang diterima oleh seseorang individu itu dan pemimpin dalam sesebuah organisasi pendidikan berperanan memastikan aspek kemuliaan insan dan manusiawi diberikan perhatian utama agar dapat membentuk generasi yang berakhlak tinggi, ihsan, berkeyakinan dan berdaya cipta.

“Dalam usaha memartabatkan manusiawi dan menyejahterakan masyarakat ini, enam tonggak Madani iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan diri dan Ihsan, berupaya membawa perubahan positif dalam mencapai Malaysia yang sejahtera, berdaya saing dan maju.

“Enam tonggak inilah yang memeta hala tuju Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera,” katanya.

Jelas Ab Aziz, setiap individu pada segenap peringkat perlu mempersiapkan diri untuk berubah secara holistik demi menjamin kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara pada masa kini dan masa hadapan.

Saifuddin (tengah) bergambar bersama peserta selepas Bicara Eksekutif Madani yang bertajuk Peranan Pemimpin MADANI dalam Memartabatkan Manusiawi dan Menyejahterakan Masyarakat di Institut Aminuddin Baki (IAB) Kementerian Pendidikan Malaysia Cawangan Utara, Jitra pada malam Jumaat.
Saifuddin (tengah) bergambar bersama peserta selepas Bicara Eksekutif Madani yang bertajuk Peranan Pemimpin MADANI dalam Memartabatkan Manusiawi dan Menyejahterakan Masyarakat di Institut Aminuddin Baki (IAB) Kementerian Pendidikan Malaysia Cawangan Utara, Jitra pada malam Jumaat.

Bagi seorang peserta program dari sekolah di Kelantan, Iskandar Mohd Nasir melihat Bicara Eksekutif Madani memberikan impak tinggi untuk barisan kepimpinan iaitu pengetua dan guru besar.

Beliau yang merupakan Penolong Kanan Pentadbiran mengakui pendidikan harus mendepani perubahan dalam arus teknologi maklumat terutama Al dan pemimpin pendidikan diberikan tanggungjawab sangat besar untuk mempersiapkan pelajar bagi menghadapi perubahan dan cabaran Al ini.

"la tidak mudah, namun harus didepani dan seperti kata Menteri sesuatu yang harus diburu kerana ia merupakan hasrat dan teras dalam tonggak kerajaan Madani," katanya.

Bagi Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah dari Kedah, Ku Nor Suriati Ku Ishak pula berkata, program berkenaan berjaya membuka minda pemimpin pendidikan dalam usaha melahirkan pelajar yang bakal menjadi pemimpin akan datang dengan input untuk merealisasikan hasrat Malaysia Madani.

“Program ini memberikan impak kepada pemimpin pendidikan hari ini. Saya tertarik dengan dengan pandangan Menteri bahawa kami perlu menyiapkan anak didik yang merupakan pemimpin akan datang dengan segala input bagi membantu merealiasasikan idea Malaysia Madani pada masa akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!