UiTM bantu atur pertemuan keluarga mangsa, suspek
DUNGUN - Pihak pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) cawangan Terengganu akan membantu mengatur pertemuan antara keluarga mangsa dan keluarga suspek wanita yang terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kematian pelajarnya pada Rabu lepas.
UiTM cawangan Terengganu dalam kenyataan pada Sabtu berkata, usaha tersebut dibuat atas permintaan keluarga suspek untuk menyampaikan permohonan maaf menerusi pertemuan empat mata dengan tiga keluarga mangsa.
"Bagaimanapun, usaha tersebut perlu mendapatkan masa yang sesuai bagi memastikan semua pihak dalam keadaan bertenang dan benar-benar bersedia.
"Pihak UiTM menghargai hasrat tersebut selain akan cuba bantu berhubung dengan keluarga mangsa supaya pertemuan berlaku dalam masa yang sesuai bagi ketiga-tiga keluarga terbabit.
"Buat masa ini mereka perlu diberi ruang menghadapi ujian besar kehilangan anak-anak mereka," katanya.
Sementara itu, keadaan seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, yang cedera dalam kejadian tersebut beransur baik dan stabil.
Katanya, Muhammad Amar Danish dijaga secara bergilir-gilir oleh ibu dan bapanya.
Selain itu, keluarga mangsa turut berpuas hati dengan kemudahan penginapan dan beberapa sokongan lain yang disediakan oleh pihak UiTM.
"Pada jam 10.30 malam tadi kaunselor UiTM ada menelefon dan bertanya khabar keadaan Muhammad Amar Danish. Alhamdulillah dia beransur baik.
"Mereka juga berterima kasih dengan keprihatinan UiTM. Insya-ALLAH hari ini kaunselor kami akan melawat Muhammad Amar Danish lagi di Hospital Dungun," jelasnya.
Dalam kejadian pada 7.35 malam itu, tiga pelajar UiTM Kampus Dungun maut manakala seorang lagi rakan mereka parah selepas dua motosikal yang dinaiki mereka dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pantai, berhadapan UiTM Dungun.
Tiga mangsa yang meninggal dunia adalah Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, dari Muar, Johor; Ku Adib Ku Azmi, 20, dari Sungai Buloh, Selangor dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, dari Ampang, Selangor.
Manakala Muhammad Amar Danish Mohammad Ridhuan, 20, dari Kuala Lumpur cedera di pinggang dan sedang dirawat di Hospital Dungun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!