'Ulat teksi' dakwa cari pendapatan sampingan di KLIA

Lelaki tempatan berusia 50-an itu ditahan ketika mengambil penumpang secara tidak sah di KLIA.
Lelaki tempatan berusia 50-an itu ditahan ketika mengambil penumpang secara tidak sah di KLIA.
A
A
A

SEPANG - Tindakan seorang ulat teksi memberi alasan kononnya mencari pendapatan sampingan dengan mengambil penumpang secara tidak sah mengundang padah apabila ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi dijalankan susulan terdapat aduan awam berkaitan perkhidmatan kereta sewa secara haram di lokasi berkenaan.

"Operasi dijalankan kira-kira jam 12 tengah hari oleh sepasukan anggota JPJ dari Stesen Penguatkuasa KLIA menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova dipercayai menjalankan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen.

"Pemeriksaan dijalankan kemudiannya mendapati Individu yang merupakan lelaki tempatan berusia 50-an itu mengambil penumpang secara tidak sah," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, pemandu itu memberi alasan baharu sahaja menurunkan penumpang ketika pemeriksaan dijalankan.

"Siasatan kemudiannya mendapati individu terbabit telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan secara tidak sah kepada dua penumpang warga Indonesia di lokasi berkenaan.

"Dua penumpang itu dipercayai dari Terminal 1, KLIA ke Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur dengan kadar tambang sebanyak RM105 dan akan dibayar apabila tiba di destinasi," katanya.

Menurutnya, semakan awal mendapati ulat yang menawarkan kegiatan teksi haram ini menyasarkan pelanggan terdiri daripada warga tempatan dan warga asing.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan dijalankan di bawah Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).

"Orang ramai dinasihatkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan sah melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!